KOTA BHARU: Meskipun bertugas menjaga sekatan jalanraya setiap hari namun, kebajikan dan kesihatan anggota polis tetap diutamakan.
Ekoran itu Balai Polis Kota Bharu sejak awal pagi memasak untuk menyediakan makanan kepada hampir 200 anggota yang bertugas di enam sekatan jalan raya di Kota Bharu sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
Ketua Balai Polis Kota Bharu ASP Hasbullah Noor berkata, makanan disediakan lima kakitangannya untuk memastikan semua anggota bertugas dapat menikmati makanan bersih.
Katanya makanan disediakan tiga kali sehari iaitu pada waktu tengahari, petang dan malam.
Menurutnya, langkah itu diambil ekoran semua kedai ditutup sejak PKP dilaksanakan.
“Kakitangan yang bertugas memasak diketuai Sarjan Khalid Yusof. Beliau memasak sejak awal pagi dengan pelbagai menu antara bihun, mee, nasi dan pelbagai jenis lauk resipi Melayu Kelantan,” katanya selepas makan tengahari bersama ahli Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) di sini semalam.
HARAKAHDAILY 27/3/2020