Ibrah al-Kahfi: Feqh mendepani bencana

- Advertisement -

DALAM beberapa Hadis, Nabi menjelaskan bahawa surah al-Kahfi adalah bekalan untuk melindungi diri dari fitnah Dajal. Ia merupakan kemuncak ujian ke atas manusia. Terkandung di dalam surah al-Kahfi, kaedah-kaedah mendepani bencana, sekalipun di waktu sebelum munculnya Dajal.

Bersembunyi, jangan keluar

Ketika Ashabul Kahfi terancam, Allah mengilhamkan mereka agar bersembunyi. Mereka mendiam di dalam gua dalam tempoh 309 tahun. Uzlah mereka berpahala, kerana ingin menjaga keselamatan diri.

Dalam beberapa petunjuk Hadis-hadis Nabi, terdapat juga pesanan agar bersembunyi ketika munculnya fitnah yang dahsyat. Nabi menjelaskan bahawa yang duduk lebih baik dari yang berdiri, yang berdiri lebih baik dari yang berjalan dan yang berjalan lebih baik dari yang berlari.

Sekalipun pesanan Nabi itu terkait dengan fitnah konflik kekacauan. Namun kefahaman yang perlu diambil adalah, ada ketikanya sikap pasif itu perlu.

- Advertisement -

Jika perlu keluar, seorang wakil sahaja

Saat Ashabul Kahfi disedarkan dari tidur yang lama, mereka terasa lapar. Lantas mereka mewakilkan hanya seorang sahaja dari mereka untuk keluar dari gua bagi mendapatkan makanan.

Wakil itu pula dikirimkan dengan duit yang telah disediakan dan dipesan agar cari makanan-makanan keperluan yang terbaik, yang sesuai dengan kondisi mereka. Bukan sekadar itu, wakil tersebut diingatkan agar berwaspada. Dia perlu sentiasa beringat bahawa pemergiannya bukan untuk berlibur;

فَابْعَثُوا أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمْ هَٰذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ فَلْيَنظُرْ أَيُّهَا أَزْكَىٰ طَعَامًا فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍ مِّنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا

“Maka suruhlah salah seorang dari kamu semua agar pergi ke kota dengan membawa duit dan hendaklah dia mencari makanan yang terbaik. Maka bolehlah dia bawa pulang kepada kamu rezeki itu. Dan hendaklah dia berjalan secara cermat, berwaspada agar tidak sekali-kali menceritakan hal kamu semua kepada seorang pun.”

(al-Kahfi: 19)

Tidak meninggalkan faktor asbab

Kisah terakhir dalam surah al-Kahfi, Allah menceritakan perihal seorang maharaja yang adil dan hebat. Zulqarnain dikurniakan kekuasaan oleh Allah, menakluk Timur dan Barat.

Di awal penceritaan, Allah menggambarkan bahawa Zulqarnain seorang yang kuat berusaha. Sikap mengambil asbab merupakan syarat bagi melengkapi tawakal yang benar. Islam tidak mengajar umatnya berserah pada takdir tanpa usaha;

إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِن كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا

“Sesungguhnya Kami telah kurniakan buatnya kekuasaan ke atas dunia. Dan Kami telah datangnya bersamanya bagi setiap sesuatu, sebab.”

(al-Kahfi: 84)

Komunikasi antara rakyat dan pemerintah

Dalam kisah Zulqarnain, Allah menceritakan aduan rakyatnya yang sedang berdepan dengan ancaman Ya’juj dan Ma’juj. Sekalipun bahasa rakyatnya sukar difahami, namun Zulqarnain tetap memenuhi permintaan mereka dan tidak menjadikan masalah komunikasi sebagai alasan;

وَجَدَ مِن دُونِهِمَا قَوْمًا لَّا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلًا

“Dia (Zulqarnain) berjumpa dengan kaum antara dua (lereng bukit) yang hampir tidak difahami kata-kata mereka.”

(al-Kahfi: 93)

Kerjasama antara rakyat dan pemerintah

(a) Rakyatnya memilik kesedaran yang tinggi. Mereka yang mengambil langkah awal, mengadu kepada Zulqarnain akan bahaya yang datang dari Ya’juj dan Ma’juj. Bukan sekadar itu, rakyatnya menawarkan diri untuk dikutip bayaran khas bagi mendepani ancaman tersebut;

يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا

“Wahai Zulqarnain, sesungguhnya Ya’juj dan Ma’juj merupakan perosak di atas muka bumi ini. Maka apakah perlu kamu berikan kepadamu bayaran untuk kamu binakan antara kami dan mereka tembok pemisah?”

(al-Kahfi: 94)

(b) Zulqarnain pantas memberi respons positif dengan tidak mengambil kesempatan untuk menambah beban rakyatnya. Bahkan beliau menyatakan apa yang sedia ada dalam perbendaharaan negara sudah memadai. Zulqarnain meminta kerjasama rakyatnya agar dapat sama-sama membina tembok pertahanan yang memisahkan mereka dengan Ya’juj dan Ma’juj’;

مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا

“Apa yang telah dianugerahkan oleh Tuhanku adalah lebih baik. Maka bantulah aku dengan kekuatan tenaga agar aku buatkan tembok penghalang antara kamu semua dan mereka.”

(al-Kahfi: 95)

Sememangnya apabila berlaku bencana, komunikasi dan kerjasama antara rakyat dan pemerintah mesti diurus sebaik mungkin. Bahkan, pemerintah perlu terlebih dahulu mengeluarkan belanja dan menunjukkan contoh pengorbanan bagi mendepani bencana.

Berkongsi semangat positif dan berdoa

Allah telah berpesan kepada Nabi dan kita semua agar terus berhubung dengan orang-orang baik. Mudah-mudahan kebaikan mereka, termasuk semangat ketaatan dari mereka dapat dikongsi bersama;

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ

“Dan bersabarlah kamu (wahai Muhammad) agar tetap bersama dengan golongan yang sentiasa mengadu kepada Tuhan mereka di waktu pagi dan petang dengan mengharapkan keredhaanNya.”

(al-Kahfi: 28)

Begitu juga Allah telah mengajar kita akan doa Ashabul Kahfi yang sesuai dipanjatkan ketika waktu sukar dan tertekan. Doa ini sebagai permintaan kepada Allah agar Dia kurniakan rahmat buat kita dan agar Dia kurniakan petunjuk. Sememangnya di waktu panik, kita sangat perlukan petunjuk;

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

“Wahai Tuhan kami, kurniakan buat kami dari sisimu rahmat dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus dalam urusan kami.”

(al-Kahfi: 10)

Sebuah pedoman

Al-Quran merupakan kitab petunjuk. Walaupun bencana COVID-19 yang melanda dunia hari ini, belumlah sampai ke tahap fitnah Dajal sepenuhnya yang terkait dengan pedoman surah al-Kahfi.

Namun melihat kaedah-kaedah umum yang termuat di dalam surah tersebut, menyedarkan kita bahawa al-Quran telah awal-awal mengajar umat Islam agar menjadi golongan yang pandai mengurus diri ketika datangnya bencana.

Semoga Allah selamatkan kita, di dunia dan di akhirat. Amin.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
27 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 27/3/2020

- Advertisement -