COVID-19: Permint Granite sumbang RM1 juta

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Syarikat Milik Kerajaan (GLC – Government Linked Companies), anak-anak syarikat kerajaan negeri dan pihak swasta disarankan turut berusaha membantu kerajaan negeri mengatasi masalah akibat penularan wabak pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Pengerusi Permint Granite Sdn Bhd, Che Ghani Ambak berkata, pihaknya terpanggil untuk sama-sama membantu kerajaan negeri mengatasi masalah akibat Covid-19 di negeri Terengganu.

Justeru, katanya sumbangan sebanyak RM1 juta dihulurkan oleh Permint Granite Sdn Bhd iaitu anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

“Kami merasa bertanggungjawab untuk sama-sama membantu rakyat Terengganu yang terjejas akibat daripada penularan wabak Covid-19 ini dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara. 

“Kami sedar bahawa pendapatan mereka terjejas dan ini sebahagian daripada sumbangan anak syarikat kerajaan negeri. 

“Mereka yang terlibat seperti peniaga kecil, peniaga pasar malam, petani dan nelayan serta golongan berpendapatan rendah. Mereka ini terjejas teruk dengan sekatan PKP,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan cek bernilai RM1 juta kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, di Tingkat 15, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Sehubungan itu, Che Ghani menyeru kepada anak-anak syarikat kerajaan negeri yang lain dan pihak swasta tampil membantu kerajaan Terengganu.

“Kami harap akan ada lagi selepas ini Syarikat-syarikat GLC dan anak-anak syarikat kerajaan negeri dan syarikat swasta yang lain tampil menghulurkan sumbangan untuk Covid-19. 

“Saya menyeru semua pihak terutama yang ada kemampuan untuk sama-sama menyumbang bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik. Kerajaan negeri juga pelbagai insentif dan pakej rangsangan telah diberikan kepada rakyat,” jelasnya.

Menurut Che Ghani, Syarikat Permint Granite terlibat dalam aktiviti carigali dan perlombongan di negeri ini.

Katanya, akibat dari penularan wabak Covid-19 dan arahan kuatkuasa PKP itu menyebabkan aktiviti ekonomi dan sosial negeri ini terjejas.

“Sumbangan ini adalah usaha kecil kami (Permint Granite) sebagai warga korporat untuk bersama pihak kerajaan negeri bagi menyediakan pelbagai bentuk sumbangan membantu rakyat sepanjang tempoh PKP ini dikenakan,” ujarnya.

Harakah difahamkan, Permint Granite merupakan anak syarikat kerajaan negeri pertama tampil menghulurkan sumbangan bagi dana Covid-19, di Terengganu.

Permint Granite Sdn Bhd. (PGSB) ditubuhkan pada 9 Februari 1998, dan merupakan anak syarikat milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT). – HARAKAHDAILY 27/3/2020

- Advertisement -