Bukti Kerajaan PN prihatin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyambut baik pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memperuntukan keseluruhan RM250 bilion.

Katanya, pengumuman itu menggambarkan keprihatinan kerajaan kepada rakyat yang kini berdepan dengan penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun dari sudut zahirnya kelihatan kerajaan terpaksa berbelanja berbilion ringgit untuk menghadapi krisis yang sedang dialami pada hari ini, pada hakikatnya ia bertujuan untuk memberikan lebih tunai ke dalam poket rakyat.

- Advertisement -

“Jika dibandingkan dengan Singapura yang memperuntukkan USD33 billion atau kira-kira RM120 billion untuk pakej rangsangan ekonomi, kelihatan kerajaan Malaysia bertindak berani dengan memperuntukkan jumlah yang jauh lebih besar,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Sekalipun katanya, adalah tidak adil membandingkan Singapura dengan Malaysia yang sangat berbeza dari pelbagai sudut.

Namun, setidak-tidaknya negara ini masih mempunyai kekuatan ekonomi untuk menghubungkan pakej rangsangan yang sangat besar.

Beliau mengharapkan semoga suntikan ini akan merangsangkan rantaian ekonomi yang malap akibat serangan virus Covid-19.

“Dengan moto ‘nobody left behind’ atau tidak ada sesiapa yang dikesampingkan, kita berharap agar semua pihak dapat menikmati sedikit sebanyak daripada pakej rangsangan yang diumumkan ini.

“Semoga Malaysia terus maju ke hadapan dan dibebaskan secepat mungkin daripada ujian yang sangat besar ini, Insya-Allah,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 27/3/2020

- Advertisement -