PM berdoa: Pertama kali dalam sejarah

- Advertisement -

PERTAMA kali dalam sejarah, seorang Perdana Menteri (PM) berdoa, menadah tangan secara live… Ya Allah, panjangkanlah umur PM untuk terus memimpin Malaysia tercinta ini… Negara sangat memerlukan pemimpin seperti ini, yang sentiasa membawa rakyat mengingati Pencipta, bukannya seperti Ultra Kiasu sebelum ini, memandu negara ke arah kemaksiatan.

Jarang saya melihat atau mungkin pertama dalam sejarah, apabila seorang Perdana Menteri dalam ucapannya menadah tangan berdoa secara ‘live’ memohon kepada Allah S.W.T memberkati negara tercinta ini daripada ancaman wabak COVID-19.

PM memohon kepada Allah agar diberikan kesejahteraan dan keselamatan kepada rakyat Malaysia. Selain itu, PM turut menyeru kepada khalayak (rakyat) akan tuntutan sembahyang berjamaah, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berada di rumah.

- Advertisement -

Ucapan inilah adalah saat-saat yang paling saya nanti-nantikan selama ini keluar daripada seorang bergelar Perdana Menteri. Selama ini, saya sentiasa ternanti-nanti, sampai bilakah negara ini akan mendapat seorang pemimpin yang berani, yang akan menyeru rakyatnya untuk tunduk dan sujud kepada Pencipta. Dan hari ini, saya dengar semua itu.

PM turut menyeru dan mengingatkan rakyat akan tanggungjawabnya kepada Pencipta. Tidak kiranya sama ada Islam atau tidak. Lebih-lebih lagi kita yang beragama Islam. Pada saat yang begitu getir ini, kepada siapa lagi kita mampu berharap setelah segala usaha dilakukan, melainkan kepada Yang Maha Mencipta, itulah Allah S.W.T.

Secara peribadi, saya merasa akan bersyukur kerana Malaysia mendapat seorang PM seperti ini, yang berserah kepada Allah, selain usaha yang tidak pernah putus. Moga Allah panjangkan sihatkan tubuh badannya, panjangkan umurnya untuk terus memimpin Malaysia. Janganlah hendaknya jatuh kepada tangan Ultra Kiasu lagi.

Bapa Ultra kira dan Ultra Kiasu setelah tidak ada kuasa, hanya pandai bercakap dan mengkritik. Saya tidak boleh bayangkan jika mereka terus memerintah. Saya juga amat bersyukur kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan. Malam-malam begitu aman, tidak ada lagi aktiviti maksiat, perjudian, pelacuran, kelab malam, merempit, melajak basikal, mengedar dadah, rompak, curi dan sebagainya.

Walaupun ada yang melakukan secara diam-diam, sekurang-kurangnya wabak (termasuk PKP) ini telah mengajar dan memberikan pengajaran kepada kita semua. Kembalilah kepada Pencipta. Perkara ini (PKP) perlu difikirkan seterusnya untuk masa akan datang dalam bentuk lain, selepas tidak ada lagi COVID-19 demi untuk menyelamatkan anak bangsa.

Pergerakan bebas pada waktu malam, tanpa ada apa-apa tujuan kerja, hanya akan merosakkan anak bangsa Melayu, dengan aktiviti-aktiviti merosakkan. Sebenarnya, Islam sudah lama mengajar kita. Kembalilah atau duduklah di rumah apabila malam menjelma. Kita perlu tidur secukupnya, untuk mencari kekuatan keesokan harinya, meneruskan kehidupan membangunkan agama, bangsa dan negara.

Sebab itulah, buktinya, sangat jelas, waktu senja atau maghrib, dalam Islam, juga dalam bangsa Cina sekalipun, yang berpandukan kalendar mengikut peredaran bulan (Kalendar Lunar), masuknya hari baru atau berakhirnya satu hari, adalah pada waktu senja atau maghrib.

Maghrib atau senja atau waktu kemuncak untuk kita berada semua berada di rumah, bukan berkeliaran tidak tentu pasal. Sebab itulah, kita selalu digalakkan berada di rumah apabila senja menjelma. Itu sahaja saat-saat kita dapat bersama berjamaah bersama keluarga, setelah penat bekerja sepanjang hari.

Wahai rakyat Malaysia, marilah kita sama-sama memberikan sokongan padu kerajaan dalam menangani wabak ini. Doakanlah kesejahteraan dan keselamatan pemimpin-pemimpin negara untuk terus memacukan negara ini mendapat rahmat dan keberkatan Allah S.W.T, setelah segala usaha dilakukan.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH – HARAKAHDAILY 26/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -