PKP: Masjid perlu proaktif bantu anak kariah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Institusi masjid perlu lebih proaktif untuk segera menyampaikan bantuan telah disalurkan Jabatan Zakat Negeri kepada anak kariah masing-masing yang terjejas pendapatan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

- Advertisement -

Hal ini penting bagi memastikan anak kariah yang sedemikian dapat kekal mematuhi arahan negara ketika ini, sekali gus menjayakan usaha kerajaan memerangi wabak bagi memutuskan rantaian penularan dan ancaman COVID-19.

Seruan itu disuarakan seorang pesara pegawai kerajaan dari Alor Setar, Kedah yang enggan disiarkan namanya ketika membuat panggilan mengadukan hal tersebut kepada HarakahDaily, sebentar tadi.

“Saya minta masjid-masjid ini jangan lambat. Ahli Jawatankuasa Masjid kena cergas untuk agihkan segera bantuan dari peruntukan telah disalurkan. Saya terima banyak yang mengadu tak ada barang nak masak dah di rumah,” ceritanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai gerakan aktif bantuan kebajikan seumpama daripada pihak kuil-kuil agama lain, oleh itu institusi masjid sepatutnya lebih efektif kerana mengenali situasi setiap anak kariahnya.

Bahkan menurutnya, inilah peluang terbaik institusi itu melebarkan mesej mereka dan mendekati masyarakat yang masih ‘jauh’ dari masjid dengan menjinakkan hati sasaran dalam kalangan anak kariah sendiri.

Selain itu ujarnya, mesej kerajaan juga dapat disampaikan, selain memantau atau mengelakkan anak kariah terjebak dengan perkara tidak sewajarnya sama ada di sisi agama mahupun undang-undang negara.

Katanya, selain peruntukan dari pihak berautoriti, institusi masjid juga diharap untuk mengikuti saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang melancarkan misi Musaadah COVID-19.

Menerusi misi yang dilancaran kelmarin dahulu, institusi masjid digalakkan menggunakan tabungan masing-masing bagi membantu golongan memerlukan kerana terkesan oleh situasi melanda negara ketika ini. – HARAKAHDAILY 26/3/2020

- Advertisement -