Pahala jihad buat petugas wabak COVID-19

- Advertisement -

JIHAD menyelamatkan nyawa manusia

Asas mengetahui bahawa jihad tidak hanya semata-mata berperang dengan senjata di medan. Walaupun ia adalah maksud khusus namun konteks jihad adalah lebih luas. Jihad dengan maksud mengerah seluruh tenaga dan keringat bagi tujuan yang mulia di sisi Islam terutama menegakkan Islam dan mempertahannya.

Menyelamatkan nyawa manusia juga adalah perkara yang mulia. Ia ikhtiar yang hebat dalam merawat dan mengubat, namun bukanlah bermaksud melarikan diri dari takdir ketetapan ajal kerana tempoh ajal tidak boleh dilewatkan atau dipercepatkan walau sesaat.

- Advertisement -

Menyelamatkan nyawa adalah juga termasuk menjaga nyawa yang dibincangkan secara khusus dalam disiplin ilmu Maqasid al-Syariah iaitu menjaga nyawa (حفظ النفس). Maka menjaga nyawa dan memberikan hak kehidupan iaitu:

الحياة هبة الله، وهي مكفولة لكل إنسان، وعلى الأفراد والمجتمعات والدول حماية هذا الحق من كل اعتداء عليه، ولا يجوز إزهاق روح دون مقتضى شرعي

“Kehidupan merupakan anugerah Allah dan ia dipikulkan untuk dijamin pelihara oleh setiap insan, atas individu, masyarakat dan negara bagi memelihara hak ini dari sebarang pencerobohan ke atasnya. Tidak boleh membunuh tanpa kebenaran sebab syar’i.”

(Rujuk: https://www.islamweb.net/newlibrary/display_umma.php?lang=&BabId=3&ChapterId=3&BookId=287&CatId=201&startno=0)

Nilai nyawa sangat besar sehingga Islam memperuntukkan beberapa pengecualian selagi mana masih memelihara iman di dalam hati dan tidak melampaui dalam tindakan, seperti:

(1) Darurat mengharuskan yang haram. Dikecualikan makan bangkai atau khinzir yang asalnya haram kerana darurat bagi menyelamatkan nyawa.

Firman Allah:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَیۡكُمُ ٱلۡمَیۡتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحۡمَ ٱلۡخِنزِیرِ وَمَاۤ أُهِلَّ بِهِۦ لِغَیۡرِ ٱللَّهِۖ فَمَنِ ٱضۡطُرَّ غَیۡرَ بَاغࣲ وَلَا عَادࣲ فَلَاۤ إِثۡمَ عَلَیۡهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورࣱ رَّحِیمٌ

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”


[al-Baqarah: 173]

(2) Dikecualikan kepada mereka yang uzur lagi tidak larat untuk menuruti hijrah ke Madinah kerana keadaan yang uzur lagi lemah membahayakan nyawa mereka.

Firman Allah S.W.T:

إِلَّا ٱلۡمُسۡتَضۡعَفِینَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَاۤءِ وَٱلۡوِلۡدَ ٰ⁠نِ لَا یَسۡتَطِیعُونَ حِیلَةࣰ وَلَا یَهۡتَدُونَ سَبِیلࣰا * فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ عَسَى ٱللَّهُ أَن یَعۡفُوَ عَنۡهُمۡۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَفُوًّا غَفُورࣰا

“Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.”


[an-Nisa’: 98 – 99]

(3) Kisah Ammar yang dimaafkan dalam keadaan terpaksa menutur kalimah kufur namun hatinya tetap teguh dengan iman. Ini kerana ancaman nyawa ke atasnya jika tidak menuturkan kalimah kufur ketika itu.

Firman Allah S.W.T:

مَن كَفَرَ بِٱللَّهِ مِنۢ بَعۡدِ إِیمَـٰنِهِۦۤ إِلَّا مَنۡ أُكۡرِهَ وَقَلۡبُهُۥ مُطۡمَىِٕنُّۢ بِٱلۡإِیمَـٰنِ وَلَـٰكِن مَّن شَرَحَ بِٱلۡكُفۡرِ صَدۡرࣰا فَعَلَیۡهِمۡ غَضَبࣱ مِّنَ ٱللَّهِ وَلَهُمۡ عَذَابٌ عَظِیمࣱ

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.”

[an-Nahl: 106]

Maka tindakan menyelamatkan nyawa adalah satu tindakan besar dan mulia dalam keadaan yang tetap memelihara iman serta tidak melampaui tindakan. Lebih-lebih lagi dalam krisis wabak COVID-19 kita dapat lihat para petugas di barisan hadapan seperti para doktor, jururawat serta anggota yang terlibat secara langsung atau tidak merupakan barisan yang sedang berjihad dan mendapat pahala jihad bagi kalangan beragama Islam.

Pengorbanan jiwa, tenaga dan masa yang dipuji

Petugas COVID-19 terlibat di luar rumah dan langsung dengan para pesakit dan mereka yang disyaki wabak bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan. Mereka mengorbankan tenaga dan masa di tempat bekerja bagi menghadapi wabak ini untuk ditangani.

Di dalam al-Quran, Allah S.W.T memuji kalangan orang mukmin yang berkorban dengan istilah ‘berjual beli’ dengan Allah. Hakikatnya mereka berkorban jiwa, tenaga, harta bahkan masa demi meraih redha Allah dan dibalas ganjaran syurga.

Firman Allah S.W.T:

۞ إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَ ٰ⁠لَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَۚ

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah…”

[at-Tawbah: 111]

Sehubungan itu, para petugas kita disarankan untuk sentiasa menjaga niat agar pengorbanan yang diberikan dan dicurahkan mendapat redha Allah dan termasuk kalangan yang mendapat pahala jihad. Menjaga niat sepanjang bertugas adalah dengan mengikhlaskan niat demi redha Allah. Tugasan baik adalah demi menyahut seruan agama iaitu membawa kebaikan kepada manusia umumnya.

Firman Allah S.W.T:

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن یَشۡرِی نَفۡسَهُ ٱبۡتِغَاۤءَ مَرۡضَاتِ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ رَءُوفُۢ بِٱلۡعِبَادِ

“Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.”

[al-Baqarah: 207]

Malah petugas COVID-19 pada zahirnya adalah mereka yang lebih mendapatkan ganjaran utama berbanding golongan lain kerana mereka secara langsung bertugas. Walaupun tidak menafikan kebaikan golongan lain namun dalam al-Quran melebihkan golongan yang ‘bersemuka’ dengan lawannya kerana lebih terdedah dengan pengorbanan.

Firman Allah S.W.T:

لَّا یَسۡتَوِی ٱلۡقَـٰعِدُونَ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ غَیۡرُ أُو۟لِی ٱلضَّرَرِ وَٱلۡمُجَـٰهِدُونَ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَ ٰ⁠لِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡۚ فَضَّلَ ٱللَّهُ ٱلۡمُجَـٰهِدِینَ بِأَمۡوَ ٰ⁠لِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ عَلَى ٱلۡقَـٰعِدِینَ دَرَجَةࣰۚ وَكُلࣰّا وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلۡحُسۡنَىٰۚ وَفَضَّلَ ٱللَّهُ ٱلۡمُجَـٰهِدِینَ عَلَى ٱلۡقَـٰعِدِینَ أَجۡرًا عَظِیمࣰا * دَرَجَـٰتࣲ مِّنۡهُ وَمَغۡفِرَةࣰ وَرَحۡمَةࣰۚ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورࣰا رَّحِیمًا

“Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman – selain daripada orang-orang yang ada keuzuran – dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar; Iaitu beberapa darjat kelebihan daripadaNya, dan keampunan serta rahmat belas kasihan. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

[an-Nisa’: 95 – 96]

Petugas COVID-19 berjihad untuk orang lain

Tugasan menangani COVID-19 bukanlah semata-mata diri sendiri bahkan demi keselamatan orang ramai malah negara. Para petugas adalah orang yang berkorban demi kebahagiaan orang lain. Keberadaan mereka di barisan hadapan yang terdedah dengan pelbagai risiko adalah untuk kepentingan umum.

Inilah nilai mulia dalam Islam kerana memberikan manfaat kepada orang lain. Islam mengajar umatnya sentiasa memberikan manfaat dan cakna kepada urusan orang lain. Islam mencela sikap kedekut, bakhil dan mementing diri sendiri dengan membiarkan orang sekelilingnya dalam keadaan terabai dan menanggung bebanan.

Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ الَّذِيْ يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائْعٌ إِلٰى جَنْبِهِ .

“Tidaklah Mukmin orang yang kenyang sementara tetangganya lapar sampai ke lambungnya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Justeru, mereka yang memiliki kelebihan dan berkemampuan namun tidak digunakan bagi membela golongan yang lemah dan memerlukan adalah dicela oleh Allah S.W.T. Bermakna, mereka yang menggunakan kelebihan untuk membantu golongan yang lemah dan memerlukan adalah tindakan terpuji. Inilah realiti bagi para petugas yang menggunakan kemahiran dan posisi mereka membantu seluruh rakyat Malaysia menghadapi wabak ini.

Ambil pengajaran dari firman Allah S.W.T:

وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَـٰتِلُونَ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِینَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَاۤءِ وَٱلۡوِلۡدَ ٰ⁠نِ ٱلَّذِینَ یَقُولُونَ رَبَّنَاۤ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَـٰذِهِ ٱلۡقَرۡیَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِیࣰّا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِیرًا

“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir Musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan ugama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)”.”

[an-Nisa’: 75]

Bersengkang mata demi nyawa manusia termasuk fi sabilillah

Para petugas COVID-19 menghabiskan masa dalam bekerja malahan ada yang bersengkang mata agar tugasan yang disasar mencapai apa yang dirancang untuk kebaikan negara dan rakyat. Jika tidak, negara dan rakyat akan lebih terdedah kepada risiko yang berlanjutan.

Sehingga ada yang tidak dapat rehat secara sempurna dan tidur di mana sahaja yang boleh kerana perlu rehat disebabkan kepenatan yang bersangat. Malah kita dapat perhatikan bagaimana kerajaan juga menambahkan lagi membantu petugas dari kalangan pelatih serta dibuka peluang sukarelawan yang memiliki syarat kelayakan yang ditetapkan untuk sertai membantu tugasan yang besar ini.

Jelas kekangan tenaga yang terhad mengakibatkan kepenatan dan ada yang bersengkang mata malah tidak kurang juga ada beberapa luahan dari petugas yang merayu agar rakyat umum mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan untuk duduk di rumah agar tidak menambahkan lagi kes dalam krisis ini.

Pujian dan ganjaran besar diberikan kepada para petugas sepanjang krisis ini dan di antara fadhilat yang boleh direnungi sebagai motivasi ialah Hadis dari Ibn Abbas bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

عَيْنَانِ لَا تَمَسُّهُمَا النَّارُ: عَيْنٌ بَكَتْ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ، وَعَيْنٌ بَاتَتْ تَحْرُسُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka; mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang bersengkang untuk berjaga di jalan Allah.”.

(Riwayat al-Bukhari)

Semoga para petugas kita diberikan kekuatan oleh Allah S.W.T untuk terus berjuang dan dibalasi mereka dengan ganjaran besar lagi tidak terhitung atas pengorbanan yang berpanjangan ini.

Disedikan oleh:
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 26/3/2020

- Advertisement -