Kakitangan UniMAP hasil topeng muka

Pegawai Pustakawan UniMAP, Hasdarinar Abdul Jalal menyerahkan pelindung muka untuk 48 kakitangan Jabatan Keselamatan UniMAP
- Advertisement -

KANGAR: Ketika seluruh dunia berdepan dengan penularan Covid-19, muncul pelbagai idea bagi membantu kerajaan dalam menangani virus tersebut.

Tidak terkecuali Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka untuk 48 kakitangan Jabatan Keselamatan di institusi pengajian tinggi berkenaan.

Usaha kreatif itu dilakukan kakitangan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP).

- Advertisement -

Ketua Pustakawan PTSFP UniMAP, Mazmin Mat Akhir berkata, idea menghasilkan pelindung muka dicetuskan oleh pengurusan universiti yang prihatin terhadap kesejahteraan dan keselamatan pegawai barisan hadapan UniMAP.

Katanya mereka merupakan barisan hadapan yang bertugas siang dan malam bagi memastikan pelajar dan warga UniMAP berada dalam kampus bebas Covid-19.

“Menjadi tanggungjawab kami membantu memastikan diri mereka dalam kondisi yang bebas Covid-19 dengan menyediakan pelindung muka,” katanya ketika dihubungi di sini.

Reka cipta itu hasil usaha Azni Yantee Abdul Raoh, Hasdarinar Abdul Jalal, Mohd Shahrul Annuar Alawi dan Norshafira Yahya yang bertungkus-lumus menyiapkan pelindung muka dalam masa tiga hari.

Bahan-bahan yang digunakan termasuk pelapik getah, polyvinyl chloride (PVC), pelekat Velcro, gam, pembalut plastik dan pelekat dua belah (double sided tape).– HARAKAHDAILY 26/3/2020

- Advertisement -