Yang ditakuti Yakjud Makjud, yang datang Covid-19

- Advertisement -

GOVIND masih menteri ketika koronavirus mula mengamuk. Pertubuhan Kesihatan Dunia mencari nama yang tepat untuk wabak itu.

- Advertisement -

Saya tersilap baca pada maklumat kaca TV. Covind-19. Siaran itu terlalu laju, saya tidak menangkap apa yang terjadi pada Menteri Govind. Sesudah beberapa kali tayang barulah saya menangkap, bukan Govind-19 tetapi Covid-19 nama baharu bagi wabak korona yang bermula di Tanah Besar China.

Ia adalah wabak pembunuh paling cepat dan memakan korban yang banyak dalam masa yang singkat.

Saya tidak bercadang untuk mencari punyanya. Sama ada kita suka atau tidak suka, ia datang mencari manusia di mana-mana sahaja. Jangkitannya memadai bertemu dan bersentuh dengan mangsa positif. Seorang yang muka telanjang tanpa topeng, terhidu nafas mulut atau hidung mangsa, wabak itu boleh beralih ke tubuhnya.

Kita tidak kenal siapa yang positif dan orang-orang yang berhubung intim dengan pembawa wabak. Doktor pun tidak memberitahu kita siapa yang positif, maka kita bila-bila masa terperangkap dengan agen pembunuh itu.

Isyarat mudah pembawa wabak di Malaysia sekarang ialah orang Tabligh kerana mereka mengadakan himpunan besar di Masjid Seri Petaling Kuala Lumpur.

Di situlah mereka dapat benihnya dan sesudah diberitahu, mereka leka dan tidak segera menyerah diri kepada pasukan pencegah.

Dan kita pula tidak kenal siapa orang Tabligh, kerana rupa pakaian dan pergaulannya sama saja dengan kita. Dengan orang Tabligh yang lambat disaring dan tidak disaring ini menyebabkan masalah di Malaysia akan menjadi bertambah payah dan dengan mereka tidak kita kenali, maka jangkitan payah dicegah dan yang ajal dengannya akan menjadi-jadi.

Covid-19 tidak diketahui menjelang tahun 2020. Tahun 2020 tahun keramat bagi Malaysia. Yang jelas kini tahun 2020 kita menyambut serangan Covid-19. Kita tidak ketahui ia sejak manusia ada dan sejak Adam dan Hawa ada. Ia datang di akhir zaman, sama yang dekat kiamat. Ia tiada zaman Firaun.

Tentunya tiada zaman Nabi Isa a.s. Allah memberi mukjizat kepada Nabi Isa dapat menyembuhkan semua penyakit dengan izinNya. Maka Covid-19 tidak sempat menular, nescaya dibasmi oleh mukjizat Nabi Isa.

Wabak menjelang kiamat tentu sudah ada isyratnya dalam al-Quran. Ahli tafsir mungkin dapat mengesannya setelah terjadi. Tetapi sebelum Covid-19 datang tiada yang dapat mentafsirkannya.

Banyak alamat kiamat disurahkan oleh ahli tafsir dan ahli hadis. Tentang kedatangan Covid-19 tiada yang menceritakannya. Yang banyak diterangkan ialah tentang kedatangan Yakjud Makjud. Ia makhluk yang akan memusnah alam dan manusia.

Ia dikatakan telah ada sejak zaman Zulkharnain yang disentuh kisahnya dalan surah Al-Kahfi. Makhluk itu dikatakan telah dikurung di satu lokasi yang tidak dikesan oleh satelit. Ia terkurung di situ hinggalah menjelangnya kiamat apabila semua lepas dari kurungan ini.

Kerajaan mengenakan kita kawalan bergerak dua minggu. Ramai yang tidak lalu duduk di rumah. Yakjud Makjud dikuarantin lama sebelum zaman ashabul kahfi. Sejak itu makhluk itu mencari jalan keluar. Allah tidak mengizinkannya. Jika ia keluar musnahlah alam dan tamadun manusia.

Maka selama-lamanya takut kita ialah kepadanya dan ketakutan kita juga kepada kedatangan Dajjal. Covid-19 tidak diketahui. Hari ini Covid-19 melanggar semua benua yang ada manusia. Ia satu ujian. Allah positifkan siapa yang dikehendakiNya dan negatifkan siapa yang dikehendakiNya. Apakah ia awal kedatangan Takjud Makjud dan Dajjal?

- Advertisement -