COVID-19: Penderma layak potongan cukai

- Advertisement -

KEMENTERIAN Kewangan Malaysia (MOF) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) amat menghargai usaha murni rakyat yang ingin bersama-sama menyalurkan sumbangan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Sehubungan itu, sebagai tanda penghargaan dan bagi menggalakkan rakyat memberikan sumbangan mereka, LHDNM ingin mengumumkan bahawa insentif potongan cukai akan diberikan kepada penderma yang mendermakan wang tunai ataupun barangan yang akan digunakan untuk menangani penularan wabak COVID-19 serta membantu rakyat yang terkesan dengan wabak tersebut.

Pada masa ini insentif yang disediakan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 oleh Kerajaan adalah untuk:

(i) Tabung COVID-19 (Kementerian Kesihatan Malaysia)
Jenis sumbangan: Tunai dan barangan.

(ii) Tabung COVID-19 (Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri)
Jenis Sumbangan: Tunai sahaja.

(iii) Derma kepada institusi atau organisasi yang diluluskan di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967.

- Advertisement -

Bagi sumbangan berbentuk peralatan atau barangan untuk menangani wabak COVID-19, para penyumbang perlu mendapatkan surat akuterima sumbangan daripada penerima sumbangan berserta dengan cop rasmi mengikut format yang akan dikeluarkan oleh MOF, sebelum mengemukakan permohonan potongan cukai tersebut kepada MOF. Permohonan yang lengkap hendaklah dialamatkan kepada Bahagian Cukai, MOF.

Pembayar cukai yang menderma dinasihatkan supaya menyimpan rekod transaksi sebagai bukti dan sila pastikan resit atau dokumen disimpan dengan rapi agar ia boleh dibuat rujukan ketika pengisian Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) Tahun Taksiran 2020 dan semakan oleh LHDNM:

(a) Transaksi Derma Tunai: Tabung COVID-19 (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan Tabung COVID-19 (Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri);

Jenis resit atau dokumen

(1) Resit Rasmi Kerajaan (Kew.38).
(2) Slip pindahan wang melalui ATM.
(3) Slip Cheque Deposit Machine.
(4) Slip deposit melalui kaunter bank.
(5) Slip pembayaran atas talian.
(6) Slip pindahan melalui Interbank Giro (IBG Transfer).
(7) Resit Real Time Electronic Transfer Fund and Securities Systems (RENTAS).
(8) Resit telegraphic (TT) bersama advice of kredit.

(b) Transaksi Derma Peralatan atau Barangan: Tabung COVID-19 (Kementerian Kesihatan Malaysia);

(i) Surat kelulusan asal oleh Menteri Kewangan;

(ii) Resit rasmi atau surat akuterima sumbangan daripada badan penerima;

(iii) Surat pengesahan nilai perkhidmatan atau nilai kos projek daripada agensi Kerajaan berkaitan.

(c) Derma tunai kepada institusi atau organisasi yang diluluskan di bawah subseksyen 44(6) [Kelulusan Ketua Pengarah LHDNM];

(i) Resit rasmi institusi atau organisasi yang telah diiktiraf oleh LHDNM.

Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan kesahihan organisasi sebelum membuat sebarang sumbangan bagi mengelakkan penipuan. Maklumat berkaitan institusi atau organisasi yang mendapat kelulusan di bawah subseksyen 44(6) ACP 1967 boleh didapati di portal rasmi LHDNM di https://www.hasil.gov.my atau capaian
pantas berikut: http://www.hasil.gov.my/bt_goindex.php?bt_kump=2&bt_skum=6&bt_posi=1&bt_unit=8&bt_sequ=1.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini boleh dimajukan kepada LHDNM melalui:

(a) HASiL Live Chat;
(b) Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/; dan
(c) Media Sosial Rasmi LHDNM iaitu:

Facebookhttps://www.facebook.com/LHDNM
Twitterhttps://twitter.com/LHDNMofficial

Sekian, terima kasih
Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia – HARAKAHDAILY 26/3/2020

- Advertisement -