COVID-19 mencabar ego Trump & NATO

- Advertisement -

NOVEL Coronavirus terus mengganas di seluruh dunia tanpa sebarang petanda akan berhenti dalam masa terdekat. Virus yang menyebabkan penyakit yang digelar COVID-19 ini telah menyebabkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Ketua Pengarahnya menggesa agar dunia perlu melakukan tindakan yang agresif dan taktikal bagi memeranginya. Beliau menyeru agar ujian saringan diperhebat, pengasingan serta rawatan pesakit dipertingkat, malah penjejakan dan kuarantin diperluas untuk mengesan punca jangkitan.

Namun masih ada nada egois dari sesetengah pemimpin dunia yang seolah-olah memandang enteng akan ancaman biologikal tersebut. Ironinya para pemimpin yang jahil itu bukan datang dari negara yang kecil anak, apatah lagi dari negara miskin atau mundur. Mereka ini semua para pemimpin negara-negara besar yang popular. Contohnya Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden Brazil, Jair Bolsonaro. Mereka berdua ini bagaikan masih bermimpi kononnya COVID-19 itu tidak akan ‘goyang’ negara mereka.

Usai kontroversi setelah menggelar Novel Coronavirus sebagai ‘Virus China’, Trump kini dilihat mempunyai pendapat yang berbeza mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau darurat. Baginya kesihatan ekonomi negara lebih penting dari kesihatan umum warganegaranya, maka PKP untuk seluruh Amerika Syarikat adalah tidak perlu. Polisi pentadbiran Trump dilihat bertentangan dengan beberapa pendekatan pihak pentadbiran tempatan di negara tersebut, contohnya New York di mana Gabenor Wilayah itu mahu warganya terus mengasingkan diri.

- Advertisement -

Di kala kes-kes COVID-19 terus meningkat di Amerika Syarikat dengan jumlah kematian menghampiri 800 orang, ia merupakan suatu peningkatan mendadak dalam masa yang singkat. Jurucakap WHO, Margaret Harris menyatakan bahawa negara tersebut mungkin akan menjadi pusat penularan pandemik COVID-19 terbaru dalam masa terdekat menggantikan Eropah dan China. Ini berdasarkan fakta bahawa sejak 2 hari lepas, 85 peratus kes COVID-19 yang baru adalah dari Amerika Syarikat dan Eropah. Dikatakan virus tersebut lebih cepat dan mudah menular di kawasan beriklim sejuk berbanding yang beriklim panas.

Kebebalan Presiden Brazil pun tidak kurang hebatnya. Dengan angkuhnya beliau berkata tidak akan rasa apa-apa jika terjangkiti virus Corona dan menolak sebarang usaha kuarantin berskala besar di negaranya. Dua bandar utama di Brazil iaitu Rio de Janeiro dan Sao Paulo telah diisytiharkan separa darurat oleh pihak berkuasa tempatan setelah kematian meningkat kepada 46 orang akibat COVID-19 di negara tersebut. Namun Presiden Brazil menyelar langkah itu kononnya ia diprovokasi fantasi serta propaganda berlebihan pihak media untuk menakut-nakutkan orang awam.

Kedua-dua Presiden Amerika Syarikat dan Brazil itu mendapat kecaman rakyat negara mereka sendiri. Bahkan mereka turut ditempelak oleh ramai golongan profesional, intelektual serta pakar dalam bidang kesihatan awam termasuk oleh NGO-NGO kemanusiaan tempatan dan Antarabangsa. Ramai yang sedar bahawa kejahilan sebeginilah yang boleh menyebabkan negara mereka kecundang sepertimana yang sedang terjadi di Itali dan Sepanyol apabila para petugas kesihatan tidak lagi ‘menang tangan’ untuk mengendalikan tsunami pesakit COVID-19 yang muncul bertali arus.

Ego Kesatuan Eropah (EU) yang selama ini cukup berbangga dengan piawai tinggi taraf kehidupan serta dasar kebebasan sosial mereka juga teruji apabila Eropah sekarang menjadi pusat penularan utama COVID-19. Media-media mereka yang sebelum ini banyak membidas polisi pentadbiran dan ekonomi China akhirnya akur bahawa cara autokratik Kerajaan Komunis China dilihat lebih berkesan untuk mengawal penularan wabak ini dalam suatu populasi yang besar. Kini China telah menghantar bantuan pakar-pakar serta bekalan perubatan untuk membantu Itali melawan COVID-19.

Beberapa negara maju dan kaya seperti Itali, Perancis dan Jerman yang merupakan negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), organisasi yang turut bertanggungjawab terhadap pembunuhan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi hampir 9 tahun lalu, juga bagaikan terpaksa menjilat ludah mereka kembali, apabila Rusia yang dilihat sebagai ancaman kepada dominasi politik dan ekonomi mereka, telah menghantar bantuan pakar-pakar perubatan berserta peralatan-peralatan medikal melalui empat pesawat pengangkut tentera udara Rusia ke Itali.

Begitu juga dengan musuh tradisi demokrasi Liberal Barat, iaitu negara Cuba. Tanpa diduga, negara yang dilihat jauh lebih mundur dari Eropah itu masih mampu menghantar sepasukan doktor-doktor perubatan ke Itali untuk menentang COVID-19. Bidang kesihatan Cuba diberi perhatian khusus ketika era pentadbiran diktator Fidel Castro. Cuba cukup rapat dengan Kesatuan Soviet yang banyak mendanai pembangunan negara tersebut ketika zaman Perang Dingin. Walaupun negara itu sedang ditekan oleh sekatan ekonomi akibat dendam Washington terhadap mendiang Fidel Castro, namun bidang perubatannya tetap menyerlah di persada Antarabangsa.

Kesimpulannya kita manusia janganlah angkuh ketika menghadapi sesuatu bencana. Apatah lagi jika bencana itu diperparahkan oleh kejahilan manusia itu sendiri. Maka dalam keadaan petaka yang menimpa dunia pada hari ini, wajarlah kita saling bersatu, saling memahami dan saling berfikir kesan jangka panjang terhadap insan lain serta negara. Adalah bodoh jika ego mengatasi segala kerasionalan kita sebagai makhluk yang diberi akal untuk bertindak dan membuat keputusan. Setakat artikel ini ditaip, Malaysia adalah antara negara Asia yang paling tegas dalam melaksanakan PKP seperti yang disyorkan oleh WHO.

DR MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi BERSATU Malaysia
26 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 26/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -