Covid-19: Lelaki berusia 63 tahun korban ke-21

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 63 tahun antara korban terbaharu menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat wabak Covid-19 seramai 21 orang setakat ini.

- Advertisement -

Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa merupakan kes ke-1,588 mempunyai latarbelakang penyakit kronik.

Dalam masa yang sama, katanya mangsa juga antara peserta perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

“Beliau telah mula bergejala dan hadir menjalani saringan pada 22 Mac 2020. Hasil ujian pengesahan Covid-19 telah didapati positif dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada 23 Mac 2020.

“Semasa dalam rawatan, kesihatan beliau merosot dan disahkan meninggal dunia pada 26 Mac 2020 jam 4 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mendedahkan seramai 80 anggota perkhidmatannya positif jangkitan COVID-19, setakat ini.

Namun, katanya punca jangkitan semua anggota perkhidmatan itu bukan disebabkan pengendalian kes positif Covid-19 di fasiliti seliaan kementerian.

“Bagaimanapun, semua anggota kesihatan dan barisan hadapan dinasihati mengamalkan langkah-langkah pencegahan dengan memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan jarak sosial dan pemakaian alat pelindung diri (PPE) mengikut keperluan yang ditetapkan,” katanya lagi.- HARAKAHDAILY 26/3/2020

- Advertisement -