Titipan doa PM dan harapan rakyat Malaysia

- Advertisement -

TITIPAN doa, setinggi harapan agar wabak COVID-19 yang sedang membadai negara ini selesai dan rakyat kembali boleh bergerak bebas di negara tercinta ini.

- Advertisement -

Begitulah harapan jutaan rakyat Malaysia yang mengaminkan doa yang dibacakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebentar tadi usai pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Rakyat hari ini bersatu hati mengharapkan apa yang dipanjatkan oleh Perdana Menteri dimakbulkan sang Pencipta agar krisis wabak COVID-19 segera berpenghujung.

Bacaan doa disampaikan oleh Muhyiddin pada penghujung Perutusan Khas Perdana Menteri tengah hari tadi disaksikan oleh jutaan rakyat Malaysia yang mengikuti rapat pengumuman perkembangan semasa kerajaan berhubung wabak COVID-19.

Dengan rasa rendah diri, Muhyiddin berkata sebagai Perdana Menteri Malaysia, beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan rakyat Malaysia.

“Saya sedar, sebagai Perdana Menteri, saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan
saudara-saudari. Ini amanah yang saya pikul.

“Sebagai manusia saya tidak sempurna, tetapi saya berjanji akan melakukan yang terbaik. InsyaAllah, dengan izin Allah s.w.t. kita akan dapat bersama-sama mengharungi dugaan besar ini,” ucap Muhyiddin.

Beliau turut menitipkan doa kepada petugas-petugas barisan hadapan agar cekal dan tabah dalam membantu negara menghadapi krisis kesihatan negara yang belum berpenamat.

“Saya tahu para doktor, jururawat dan kakitangan hospital amat keletihan pada masa ini.

“Saya telah mengarahkan Kementerian Kesihatan supaya memberikan sedikit masa untuk petugas-petugas kesihatan kita mengambil cuti rehat secara berperingkat sebelum mereka kembali bertugas semula.

“Sementara itu, tenaga sukarela dari kalangan doktor dan jururawat swasta dan badan-badan
sukarela akan digerakkan untuk mengambil alih tugas mereka buat sementara waktu.

“Begitu juga kepada anggota polis dan tentera yang bertugas di lapangan. Jaga kesihatan anda dan terus cekal berkhidmat untuk negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/3/2020

- Advertisement -