Selamat Hari Polis ke-213

- Advertisement -

SAYA mengucapkan Selamat Hari Polis yang ke-213 kepada semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara. 

- Advertisement -

Walaupun tiada sambutan dilaksanakan ekoran negara kita masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun begitu, tidak bermakna jasa dan pengorbanan mereka tidak dihargai.

Saya berbangga dengan kecekapan dan ketegasan  yang dilakukan oleh warga PDRM terutama sekali bersama-sama berganding bahu membantu Kerajaan dalam membendung wabak COVID-19 daripada terus menular. 

Perkara ini dapat dilihat kesungguhan warga PDRM yang bertungkus-lumus memberi kesedaran dan nasihat kepada orang ramai untuk mematuhi arahan PKP yang dikeluarkan oleh Kerajaan selama 14 hari bermula 18 Mac hingga 31 Mac. 

Melihat kesediaan dan kesungguhan warga PDRM seluruh negara yang berada di barisan hadapan dalam menghadapi wabak COVID-19 yang semakin serius menunjukkan bukti pengorbanan mereka terhadap negara kita. 

Perkara ini seharusnya dihargai oleh masyarakat dengan mematuhi arahan sepanjang pelaksanaan PKP sekali gus mengurangkan risiko warga PDRM daripada terjebak dengan wabak ini. 

Hari ini merupakan hari yang ke-8 Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan yang sepatutnya tiada sebarang isu ketidakpatuhan dan keingkaran orang awam bagi memastikan rantaian wabak COVID-19 dihapuskan sekali gus dapat mengurangkan jumlah kumulatif kes postif COVID-19 di negara kita.

Saya menegaskan bahawa sebarang keingkaran dan kedegilan orang awam untuk mematuhi arahan PKP seharusnya dikenakan tindakan yang tegas demi kemaslahatan orang lain. 

Akhir sekali, pengorbanan yang dilakukan oleh seluruh petugas barisan hadapan termasuk warga PDRM  yang terdedah dengan risiko yang tinggi akibat daripada wabak ini amat dihargai. Malah, ini  merupakan satu jihad demi agama, bangsa dan negara.

“Islam Memimpin Perpaduan” 
YB CHE ALIAS HAMID

Ahli Parlimen Kemaman

HARAKAHDAILY 25/3/2020

- Advertisement -