Penangguhan yang meringankan

- Advertisement -

BANYAK pihak menyambut baik pengumuman Perdana Menteri dan Bank Negara Malaysia berkenaan penangguhan bayaran pinjaman bank dalam tempoh enam bulan, sebagai langkah membantu rakyat dan peniaga menghadapi kesan COVID19 di negara ini.

- Advertisement -

Dengan purata kadar ansuran hutang (debt servicing ratio) sekitar 40 peratus hingga 60 peratus sebulan, pengumuman ini diharapkan dapat membantu rakyat dan peniaga meringankan beban kewangan, memberi lebih wang untuk berbelanja dan seterusnya dapat menggerakkan aktiviti ekonomi negara.

Perlu difahami bahawa penangguhan bayaran (moratorium) ini bersifat ‘payment holiday’, bukannya ‘interest holiday‘. Menurut Bank Negara,

“Perkara penting yang perlu diambil perhatian ialah faedah/keuntungan akan terus terakru (diambil kira) atas pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh, dan peminjam perlu meneruskan pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh pada masa hadapan”.

Maka pengguna perlu faham kesan penangguhan ini terhadap pembiayaan yang diambil (tempoh, ansuran, faedah/keuntungan), dan pihak bank perlu menjelaskan implikasi sebenar yang akan ditanggung pengguna kemudiannya.

Ramai juga yang bertanya adakah penangguhan ini bersifat automatik atau pilihan? Jelas Bank Negara, “Individu dan PKS yang tidak mahu atau tidak perlu menggunakan kemudahan ini boleh meneruskan pembayaran balik mereka seperti biasa mengikut struktur yang sedia ada”.

Pastinya ada yang bersetuju dan mungkin ada yang tidak bersetuju dengan polisi ini, namun langkah ini diharapkan dapat membantu individu dan peniaga yang menghadapi kesulitan kewangan, mengelakkan daripada terjerumus ke perangkap ‘along’, seterusnya dapat membantu rakyat melangsungkan kehidupan dalam tempoh kritikal ini.

Selain itu, seluruh mata dan telinga akan tertumpu kepada pengumuman pakej rangsangan ekonomi ‘prihatin rakyat’, yang akan diumumkan Perdana Menteri Jumaat ini.

“Sama ada anda pemandu teksi, pemandu grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual goreng pisang, penjual burger, pekerja harian, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan anda semua beroleh manfaat”.

“Insya-Allah, no one will be left behind,” ujar Perdana Menteri.

SYAHIR SULAIMAN, Day#8 MCO-extended

HARAKAHDAILY 25/3/2020

- Advertisement -