Jangka keadaan lebih sukar – PM

- Advertisement -

KUALA KUMPUR: Memasuki hari kelapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan lebih 95 peratus rakyat Malaysia mematuhi perintah tersebut, demikian kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa insiden kecil yang masih melanggar perintah namun pihak polis dan tentera telah dikerah untuk mengambil tindakan tegas bagi mengawal keadaan.

Katanya, tindakan tegas terpaksa diambil oleh pihak berkuasa demi memastikan perintah larangan pergerakan ini dipatuhi demi untuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Saya hendak mengingatkan, jika perintah ini tidak dipatuhi, maka ianya tidak akan membawa apa-apa kesan positif dan segala tindakan kita akan menjadi sia-sia.

“Apa pun, yang paling utama ialah kesedaran kita sendiri. Saya mengucapkan terima kasih kepada saudara-saudari sekalian yang rata-ratanya mempunyai kesedaran yang tinggi tentang kepentingan untuk duduk di rumah atau stay at home.

- Advertisement -

“Saya tahu, bukan mudah untuk saudara-saudari duduk diam-diam di rumah untuk satu tempoh masa yang agak lama. Pastinya banyak cabaran yang saudara-saudari hadapi pada waktu ini. Tiba-tiba gaya hidup kita berubah dengan sekelip mata,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau dengan tidak berselindung mengatakan bahawa keadaan berkemungkinan menjadi lebih sukar berikutan Covid-19 adalah sejenis wabak yang tidak pernah hadapi sebelum ini.

Ia katanya tidak menjangkakan bahawa wabak tersebut telah mengubah kehidupan manusia sekelip mata bukan sahaja di Malaysia malahan seluruh dunia dengan kadar jangkitannya begitu cepat.

“Di negara kita, daripada kes pertama jangkitan Covid-19 dikesan, sehingga jam 12 tengahari ini jumlah kes positif telah meningkat kepada 1,796 kes, iaitu penambahan 172 kes baharu pada hari ini.

“Jumlah kematian juga telah meningkat kepada 17 orang termasuk seorang doktor. Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berdoa semoga roh mangsa dicucuri rahmat Ilahi,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 25/3/2020

- Advertisement -