Covid-19: Satu kematian lagi dilaporkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu kematian lagi direkodkan menjadikan mangsa korban wabak Covid-19 yang meninggal dunia pada hari ini seramai lima (5) orang.

- Advertisement -

Angka ini mencatatkan peningkatan kepada jumlah kumulatif kes kematian akibat wabak Covid-19 di Malaysia mencecah 20 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa ke-20 seorang warga emas lelaki berusia 76 tahun merupakan kes ke-780.

Kata Noor Hisham, mangsa adalah peserta Ijtimak Tabligh Masjid Jamek Sri Petaling dilaporkan meninggal dunia pada jam 4.34 petang tadi di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, Kelantan.

“Beliau telah dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, Kelantan mulai 18 Mac.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada 4.35 petang, 25 Mac 2020. KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau,” tulis Noor Hisham di Facebooknya yang dimuatkan sekitar jam 10.20 malam tadi.

Angka korban wabak Covid-19 hari ini mencatatkan lebih ramai berbanding hari-hari sebelum ini.

Jumlah kes positif wabak Covid-19 pada hari ini sebanyak 1,796 kes iaitu pertambahan kes sebanyak 172 kes manakala jumlah kes kritikal yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah seramai 45 orang termasuk 34 orang menggunakan bantuan pernafasan.

16 pesakit Covid-19 telah sembuh menjadikan jumlah kes sembuh seramai 199.

Peningkatan angka kes positif wabak Covid-19 memaksa kerajaan mengumumkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran terdapat trend kes-kes baharu dilaporkan.

PKP bermula pada 18 Mac lepas dan sepatutnya tamat pada 31 Mac telah dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Rakyat diwajibkan mematuhi arahan PKP bagi membendung rantaian wabak Covid-19.- HARAKAHDAILY 25/3/2020

- Advertisement -