COVID-19: Jangan terjebak sikap negatif

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tidak dinafikan bahawa banyak pihak terjejas oleh situasi penularan COVID-19 yang juga menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan terpaksa dikuatkuasakan kerajaan demi mengekang ancaman dan risikonya.

Namun, pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ternyata begitu memahami impak dialami rakyat lalu diusahakan penyelesaian menerusi pelbagai inisiatif dan intensif telah, sedang dan akan diumumkan.

Pun begitu, masih wujud keadaan sebaliknya apabila terdapat segelintir pihak yang bersikap mengambil kesempatan ke atas pihak lain dan mementingkan diri sendiri ketika mana semua pihak berdepan tempoh ini.

Antaranya kedegilan individu-individu yang sewenangnya melanggar arahan PKP sama ada mempertikaikannya, bahkan ada mengingkari sehingga pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan perundangan ke atas mereka.

- Advertisement -

Mereka bukan sahaja mengemukakan pelbagai alasan tidak munasabah dan tidak masuk akal, malah ada yang bersikap melampau apabila meremeh, mengeji dan menghina pihak berkuasa dengan kata-kata kesat.

Turut dilaporkan kejadian mencuri cecair sanitizer di hospital, selain jualan sanitizer palsu, termasuk yang mengambil ‘peluang’ melariskan jualan topeng muka kain, span dan karbon bagi tujuan meraih wang semata-mata.

Sedangkan topeng-topeng muka berkenaan langsung tidak mempunyai aspek ‘pertahanan kesihatan’ standard dan diperlukan bagi menangani risiko wabak COVID-19 dari pihak penyebab sebaran atau diri pembawa.

Orang awam adalah diingat dan disyorkan menggunakan topeng muka N95, topeng pembedahan atau FFP1 yang mampu menapis virus sekurangnya 95 peratus, namun mesti digunakan dengan kaedah betul.

Sikap segelintir masyarakat yang turut serius adalah berkongsi atau menyebarkan maklumat tidak sahih bahkan palsu di sebalik kemudahan teknologi dan media sosial bebas dimiliki setiap orang hari ini.

Oleh demikian, dalam mengatasi semua perkara negatif seperti ini adalah sebaiknya masyarakat patuh kepada PKP dengan “Duduk Di Rumah”, selain mengamalkan kebersihan dipanduankan, serta mengambil maklumat hanya dari sumber rasmi kerajaan. – HARAKAHDAILY 25/3/2020

- Advertisement -