Teknik rRT-PCP diguna kesan Covid-19: KKM

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, ujian makmal yang dijalankan di makmal fasiliti kesihatan kerajaan bagi mengesan jangkitan Covid-19 adalah dengan menggunakan teknik Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR).

Menurut Ketua Pengarah KKM, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah, ujian rRT-PCR yang dijalankan akan mengesan kehadiran virus Covid-19 yang terdapat di dalam badan pesakit.

Katanya, ujian melalui teknik Rapid Test Kit (RTK) yang terdapat di pasaran adalah bagi mengesan antibodi yang terhasil di dalam badan akibat jangkitan yang dialami.

- Advertisement -

“Antibodi muncul di dalam badan sekitar 5-8 hari selepas jangkitan. Ujian RTK yang mengesan antibodi tidak dapat mengesan virus dan membuat pengesahan pantas jangkitan.

“Ini menyebabkan ia tidak dapat membantu dalam pengesanan awal kes Covid-19,” katanya pada sidang media hari ini.

Lantaran itu katanya, ujian RTK yang mengesan antibodi tidak disarankan untuk tujuan diagnosa virus Covid-19.

Berikutan itu, KKM menggesa orang ramai untuk tidak menjalani ujian RTK dengan sewenang-wenangnya tanpa mendapat khidmat nasihat dari Pengamal Perubatan.

Ini katanya kerana ia berpotensi untuk menimbulkan salah tafsir dan keresahan terhadap keputusan ujian yang diperolehi.- HARAKAHDAILY 24/3/2020