Pengumuman kerajaan legakan rakyat – Kamaruzaman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik Pakej Rangsangan Ekonomi Dan Bantuan Rakyat yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin semalam. 

- Advertisement -

Langkah ini amat bertepatan ketika sebahagian rakyat yang terbelenggu dengan perbelanjaan kos sara hidup harian terutama mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap. 

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, golongan yang berpendapatan harian paling terkesan terutama kalangan B40.

Katanya lagi, begitu juga peniaga atau usahawan kecil apabila aktiviti perniagaan mereka terhenti tetapi dalam masa yang sama terpaksa membayar sewa premis dan gaji pekerja. 

Tambah beliau, ini termasuk rakyat yang terlibat ‘gig economy’ seperti pemandu teksi e-hailing, penghantar makanan dan seumpamanya turut terjejas.  

PAS juga menyambut baik beberapa kerajaan negeri yang turut mengumumkan inisiatif membantu rakyat.

Kata Kamaruzaman,  antaranya langkah mengecualikan sewa bulanan terhadap premis perniagaan yang dimiliki oleh kerajaan, menangguhkan bayaran sewa bagi rumah PPRT dan beberapa insentif lagi seperti Terengganu dan Kelantan. 

“Usaha ini dilihat dapat melegakan rakyat walaupun kerajaan negeri sendiri berhadapan dengan risiko pengurangan pendapatan akibat kejatuhan harga minyak mentah dunia ke paras paling rendah,” ujarnya kepada Harakahdaily dalam satu kenyataan hari ini.

PAS turut merakamkan ucapan tahniah kepada institusi zakat, badan korporat, badan bukan kerajaan serta individu yang turut serta membantu meringankan beban rakyat. 

Menurut beliau, di sebalik usaha pihak Kerajaan Persekutuan menangani wabak pandemik Covid-19 yang begitu serius, PAS masih kesal kerana masih ada lagi segelintir rakyat yang ingkar akan Perintah Kawalan Pergerakan. 

Tegas beliau, rakyat seharusnya mematuhi arahan dan peraturan yang telah dibuat oleh pihak kerajaan untuk menjamin keselamatan semua pihak. 
HARAKAHDAILY 24/3/2020

- Advertisement -