Israk dan Mikraj: PAS istiqamah menolak politik fitnah

- Advertisement -

PENDAHULUAN

Rejab merupakan bulan yang sangat dimuliakan oleh orang Islam khususnya di seluruh pelosok dunia kerana pada tanggal ke-27 bulan tahun ke-12 tersebut merupakan hari di mana tersingkap sebuah sejarah yang amat penting, iaitu kisah Nabi Muhammad S.A.W diangkat ke langit ketujuh bertemu Allah. Tarikh ini bersamaan 622 M iaitu ketika Nabi berumur 52 tahun, setahun sebelum Hijrah dari Makkah ke Madinah.

Dalam menyingkap tabir sirah Rasulullah, terdapat banyak peristiwa bersejarah yang signifikan dengan akal dan pengetahuan manusia. Namun begitu, tidak dinafikan terdapat kisah yang sehingga kini begitu menguji keyakinan dan keimanan umat manusia.

Hal ini tidak terlangkau oleh segala ilmu sains dan teknologi bagi membuktikan wujudnya makhluk sepantas Buraq, diangkatnya Nabi Muhammad Bersama roh dan jasad bertemu Allah dan diperlihatkan seksaan api neraka sepanjang perjalanan tersebut.

- Advertisement -

Demikian yang dimaksudkan adalah peristiwa Israk dan Mikraj. Sebelum memulakan coretan mengenai kisah ini, penulis berasa tidak lengkap jika tidak membawa pengertian khusus, mengenai apakah sebenarnya yang dimaksudkan Israk dan Mikraj ini.

Peristiwa ini dirakamkan Allah dalam firmanNya yang bermaksud:

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Jerusalem), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Al-Israa’: 1)

Israk bermaksud perjalanan Rasulullah menunggang Buraq bersama malaikat Jibrail dari Makkah ke Baitulmuqaddis yang kini dikenali sebagai Palestin. Manakala Mikraj pula bermaksud perjalanan Baginda dari Baitulmuqaddis ke Sidratul Muntaha iaitu satu pohon kehidupan pemisah makhluk dan langit ketujuh.

Peristiwa agung tanda keagungan Rasulullah

Peristiwa ini menjadi satu peristiwa yang sangat penting kerana ia membawa satu kewajipan yang amat besar. Kewajipan ini menandakan seseorang itu Islam atau kufur, iaitu solat lima waktu bermula dari waktu Subuh sebanyak dua rakaat, dilangkau jauh masa ke Zohor dan Asar masing-masing empat rakaat, manakala Maghrib adalah sebanyak tiga rakaat dan terakhir ialah Isyak iaitu sebanyak empat rakaat.

Perjalanan ini adalah sebuah mukjizat agung dari Allah kepada Rasulullah S.A.W kerana perkara ini tidak pernah dilalui pun oleh para Nabi dan Rasul terdahulu. Perkara ini seterusnya membuktikan bahawa hanya Baginda Rasulullah sahajalah yang diberikan anugerah dan kehormatan oleh Allah sebagai tanda agung menandakan tingginya penghargaan Allah kepada Baginda.

Beberapa peristiwa telah diperlihatkan kepada Rasulullah sebagai satu hikmah dan pelajaran yang sangat penting bagi menjadi cerminan umat Islam zaman Baginda dan seterusnya. Antara peristiwa yang diperlihatkan adalah seksaan kepada orang-orang yang enggan beribadah, berzakat, pemakan hasil riba.

Selain itu, Baginda juga diperlihatkan mengenai gambaran umat manusia yang tersungkur dalam erti kemewahan dunia seperti perumpamaan dunia yang sudah tua, tamsilan serta terdapat pengakuan para Nabi dan Rasul mengiktiraf Nabi Muhammad sebagai Rasul terulung. Apabila sampai ke Sidratul Muntaha, Baginda bertemu Allah S.W.T dan diberikan kewajipan solat sebanyak 5 waktu sehari semalam.

Israk dan Mikraj sebagai ujian keimanan

Nabi Muhammad S.A.W telah kembali ke Kota Makkah seawal jam 6 pagi sebelum terbit fajar dan perkara ini telah menjadi keraguan dan tawaan oleh masyarakat Quraisy terutamanya ketua mereka iaitu Abu Jahal dan Abu Lahab. Ketika Baginda tiba, Baginda memberitahu Abu Lahab bahawa diri Baginda telah diisrakkan ke Baitulmuqaddis.

Lalu, Abu Lahab merasa aneh, apakah mampu seorang manusia ketika itu mampu tiba dari Baitulmuqaddis ke Kota Makkah dalam tempoh satu malam? Hal ini ditertawakan oleh kaum Musyrikin Quraisy dan menganggap Nabi Muhammad S.A.W sudah gila dan ahli sihir. Peristiwa Abu Jahal menghina serta mempersendakan Rasulullah ini adalah di Hijir Ismail di hadapan Kaum Kaab bin Luay.

Namun begitu, Abu Bakar adalah orang Islam pertama yang mempercayai Nabi Muhammad kerana beliau sentiasa percaya bahawa Baginda Rasulullah merupakan Al-Amin. Di samping itu, A’isyah R.A juga turut mencatatkan terdapat juga orang Islam yang melakukan murtad akibat tidak percaya kepada Rasulullah.

Orang beriman itu sentiasa istiqamah

Orang-orang yang kekal beriman ketika itu, kekal istiqamah di atas jalan Islam kerana mereka adalah orang yang sentiasa sanggup memikul dan perjuangan Islam yang kini, penulis kira sangat subur di hati para amilin. Amilin ini sentiasa bersedia memikul tugasan pejuang-pejuang Islam di lapangan bagi memerangi kebatilan yang berlaku secara terang mahupun tersembunyi.

Umat Islam khususnya ahli PAS yang mengakukan diri mereka beriman kepada Allah, mestilah mempercayai bahawa hidupnya, serta matinya hanyalah kerana Allah semata-mata. Ia tidak mungkin meraih dan diraih dengan keseronokan dunia dan keinginan diri semata-mata. Maka mereka yang beriman ini memilih untuk terus menawarkan diri untuk menanggung segala beban serta risiko membawa Islam.

Tidak dinafikan, membawa Islam masa kini bertepatan dengan hadis daripada Anas Ibn Malik R.A berkata, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;

“Akan datang kepada manusia satu zaman di mana orang yang sabar daripada kalangan manusia yang berpegang dengan agamanya seperti seorang yang menggenggam bara api.

(Riwayat Tarmizi)

Hadis tersebut menggambarkan perilaku keadaan manusia di akhir zaman yang sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran dan ujian dalam berpegang teguh dengan agama. Bila tiba detik ini, ahli PAS dan seluruh umat Islam mestilah bersatu menjaga agama dan perlu mengorbankan nikmat dunia seperti masa lapang, harta dan jiwa yang semuanya bersifat sementara demi Islam.

Dalam pada itu, tidak dinafikan melakukan pengorbanan ini pastinya tidak mudah, ia memerlukan semangat yang jitu serta jiwa yang kental bagi menahan sabar dan kerenah sikap manusia. Maka dari itulah, Nabi Muhammad S.A.W mengumpamakan orang yang hidup di akhir zaman itu seperti orang yang memegang bara api dalam melaksanakan perintah Allah.

Kesimpulan

Zaman yang kita sedang duduki ini adalah zaman fitnah, dahulu mereka memfitnah mengenai kesahihan peristiwa Israk dan Mikraj ini dengan menuduh Nabi Muhammad S.A.W sebagai insan gila dan ahli sihir. Dan kini, mereka menuduh PAS sebagai sebuah parti sesat yang membawa fahaman Islam ekstrem dalam berpolitik! Maka dari itu, ia menjadi kewajipan bagi kita untuk sentiasa sabar serta mempersiapkan diri agar tidak terjerumus dan futur ke dalam fitnah yang boleh meruntuhkan jamaah PAS. Akhirnya, Allah S.W.T telah pun menjanjikan ganjaran yang sangat istimewa kepada orang-orang yang bersabar dalam firmanNya yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan tidak terkira.”

(Al-Zumar: 10)

Oleh: HAIKAL MOHD NOH – HARAKAHDAILY 24/3/2020

- Advertisement -