COVID-19: Terus banyakkan istighfar kepada Allah

- Advertisement -

MUSIBAH perlu kepada hikmah dan muhasabah

Setiap perkara yang berlaku perlu adanya dua sudut penilaian dalam kehidupan manusia iaitu:

(1) Sudut hikmah.
(2) Sudut muhasabah.

Dari sudut hikmah adalah supaya manusia tidak berprasangka apatah lagi buruk sangka kepada Allah S.W.T. Ini kerana setiap kejadian penciptaan dan kejadian peristiwa yang berlaku tidak ada yang sia-sia. Malah mustahil bagi Allah bersifat dengan sesuatu yang sia-sia kerana Allah bersifat dengan sifat al-Hakim iaitu Maha Bijaksana.

- Advertisement -

Firman Allah S.W.T:

ٱلَّذِینَ یَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِیَـٰمࣰا وَقُعُودࣰا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَیَتَفَكَّرُونَ فِی خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَـٰذَا بَـٰطِلࣰا سُبۡحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

“Orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan mengenai kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

[Ali-Imran: 191]

Dari sudut muhasabah pula, supaya manusia menginsafi dan merenung kelemahan diri agar melahirkan rasa pergantungan pada Allah dan pengharapan bagi pengampunan dosa. Ini kerana Allah tidak bersifat dengan sifat zalim atas hamba-hambaNya pada sesuatu ujian yang diberikan.

Firman Allah S.W.T:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا یَظۡلِمُ مِثۡقَالَ ذَرَّةࣲۖ وَإِن تَكُ حَسَنَةࣰ یُضَـٰعِفۡهَا وَیُؤۡتِ مِن لَّدُنۡهُ أَجۡرًا عَظِیمࣰا

“Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.”

[An-Nisa’: 40]

Fadilat istighfar dalam menghadapi musibah

Dalam keadaan serius dan kebimbangan terhadap COVID-19 umat Islam jangan lekang bibirnya dari beristighfar kepada Allah. Salah satu tanda kita bermuhasabah ialah kita perbanyakkan istighfar. Sedangkan Rasulullah S.A.W yang maksum iaitu terpelihara dari dosa bahkan dijamin syurga turut beristighfar lebih 70 kali sehari, inikan pula kita.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

“Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali.”

(Riwayat al-Bukhari)

Dengan melazimi istighfar maka mudah-mudahan fadilatnya diperolehi iaitu Allah melapangkan segala kesempitan dan mempermudahkan segala kesulitan. Malah diberikan kurniaan rezeki tanpa disangka.

Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

“Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah S.W.T menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”

(Riwayat Abu Daud)

Sunnah para Rasul beristighfar terutama sewaktu musibah

Al-Quran merakamkan kisah para Rasul sebagai teladan dan pengajaran sepanjang zaman. Dalam kisah para Rasul juga, ada yang ditonjolkan berkenaan istighfar para Rasul serta termasuk doa yang berkaitan seperti permohonan pengampunan dosa terhadap kesalahan atau kesilapan.

Sekalipun para Rasul keimanan tinggi dan terpelihara, namun tindakan istighfar dan permohonan pengampunan sebagai motivasi dan teladan pada umat mereka serta manusia sepanjang zaman. Malahan, dalam ujian kesulitan dan waktu ditimpa musibah maka ia menjadi keutamaan untuk fokus memohon pengampunan sebagaimana sunnah para Rasul yang dirakamkan.

Antara lafaz istighfar para Rasul yang dirakamkan untuk diteladani ialah:

(1) Istighfar Nabi Adam. Firman Allah S.W.T:

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Keduanya berkata, “Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi.”

(al-A’raf: 23)

(2) Istighfar Nabi Nuh. Firman Allah S.W.T:

قَالَ رَبِّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَسْأَلَكَ مَا لَيْسَ لِي بِهِ عِلْمٌ ۖ وَإِلَّا تَغْفِرْ لِي وَتَرْحَمْنِي أَكُنْ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Dia (Nuh) berkata, “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu untuk memohon kepada-Mu sesuatu yang aku tidak mengetahui (hakikatnya). Kalau Engkau tidak mengampuniku, dan (tidak) menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku termasuk orang yang rugi.”

(Hud: 47)

Dan Firman Allah S.W.T:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَنْ دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَارًا

“Ya Tuhanku, ampunilah aku, ibu bapaku, dan siapa pun yang memasuki rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman laki-laki dan perempuan. Dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kehancuran.”

(Nuh: 28)

(3) Istighfar Nabi Ibrahim. Firman Allah S.W.T:

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

“Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang Mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).”

(Ibrahim: 41)

(4) Istighfar Nabi Daud. Firman Allah S.W.T:

قَالَ لَقَدْ ظَلَمَكَ بِسُؤَالِ نَعْجَتِكَ إِلَىٰ نِعَاجِهِ ۖ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ الْخُلَطَاءِ لَيَبْغِي بَعْضُهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَقَلِيلٌ مَا هُمْ ۗ وَظَنَّ دَاوُودُ أَنَّمَا فَتَنَّاهُ فَاسْتَغْفَرَ رَبَّهُ وَخَرَّ رَاكِعًا وَأَنَابَ

“Dia (Daud) berkata, “Sungguh, dia telah berbuat zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu untuk (ditambahkan) kepada kambingnya. Memang banyak di antara orang-orang yang bersekutu itu berbuat zalim kepada yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan; dan hanya sedikitlah mereka yang begitu.” Dan Daud menduga bahawa Kami mengujinya; maka dia memohon pengampunan kepada Tuhannya lalu menyungkur sujud dan bertaubat.”

(Shad: 24)

(5) Istighfar Nabi Sulaiman. Firman Allah S.W.T:

قَالَ رَبِّ اغْفِرْ لِي وَهَبْ لِي مُلْكًا لَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي ۖ إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ

“Dia berkata, “Ya Tuhanku, ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh siapa pun setelahku. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Pemberi.”

(Shad: 35)

(6) Istighfar Nabi Musa. Firman Allah S.W.T:

قَالَ رَبِّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي فَغَفَرَ لَهُ ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Dia (Musa) berdoa, “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri, maka ampunilah aku.” Maka Dia (Allah) mengampuninya. Sungguh, Allah, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.”


(al-Qashas: 16)

(7) Istighfar Nabi Sulaiman. Firman Allah S.W.T:

وَذَا ٱلنُّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغَـٰضِبࣰا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقۡدِرَ عَلَیۡهِ فَنَادَىٰ فِی ٱلظُّلُمَـٰتِ أَن لَّاۤ إِلَـٰهَ إِلَّاۤ أَنتَ سُبۡحَـٰنَكَ إِنِّی كُنتُ مِنَ ٱلظَّـٰلِمِینَ

“Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”

[al-Anbiya’: 87]

(8) Istighfar Nabi Zakaria. Firman Allah S.W.T:

وَزَكَرِیَّاۤ إِذۡ نَادَىٰ رَبَّهُۥ رَبِّ لَا تَذَرۡنِی فَرۡدࣰا وَأَنتَ خَیۡرُ ٱلۡوَ ٰ⁠رِثِینَ

“Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi.”

[al-Anbiya’: 89]

(9) Sayyidul istighfar yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W seperti yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus, bahawa Baginda S.A.W bersabda:

سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

“Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau.”

[Riwayat al-Bukhari]

Beristighfarlah, Allah lebih menyukai hamba-Nya bertaubat

Dalam kesempatan kita berhadapan dengan wabak COVID-19 ini, pastinya sebagai umat Islam kita amat mengharapkan pertolongan dan bantuan Allah. Maka sebagai hamba yang lemah dan tidak lari dan kesilapan, gunakan kesempatan ini untuk bertaubat dan memperbanyak istighfar kepada Allah S.W.T.

Setiap manusia pastinya ada membuat kesilapan. Dan orang yang terbaik adalah mereka yang kembali bertaubat. Jangan ada yang ego sombong sehingga melupai Allah S.W.T. Kepada-Nya kita berserah dan mohon keampunan.

Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W:

كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

“Setiap anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan, adalah mereka yang bertaubat.”

(Riwayat al-Tirmizi)

Malah dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W menceritakan bahawa Allah S.W.T sangat gembira akan taubat hamba-Nya berbanding kegembiraan seseorang hamba kerana kegembiraan ada kala melampaui ia boleh memesongkan seseorang.

Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

للهُ أَشَدُّ فَرَحاً بِتَوبَةِ عَبْدِهِ حِينَ يتوبُ إِلَيْهِ مِنْ أَحَدِكُمْ كَانَ عَلَى رَاحِلَتهِ بأرضٍ فَلاةٍ…

“Allah sangat gembira dengan taubat hamba-Nya ketika hamba-Nya tersebut bertaubat kepada-Nya, dibandingkan (kegembiraan) seseorang yang sedang mengadakan perjalanan di padang pasir…”

(Riwayat Muslim)

Justeru, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini kerana ujian dan musibah COVID-19 maka umat Islam penuhilah ruang masa dan di mana sahaja keberadaan kita untuk terus memperbanyakkan istighfar. Semoga Allah melenyapkan musibah ini dari kita semua.

Disedikan oleh:
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 24/3/2020

- Advertisement -