COVID-19: Solatlah kamu sebelum kamu disolatkan

- Advertisement -

BULAN Rejab bakal melabuhkan tirainya dan bermakna kita hanya tinggal sebulan sahaja lagi untuk sampai di bulan Ramadhan Kareem. Adakah kita mampu sampai?

Persoalan tersebut hanya bermain di minda mereka yang sentiasa mengisi masanya dengan mengutamakan perintah Allah S.W.T dan mengambil pengajaran terhadap peristiwa Israk Mikraj.

27 Rejab setiap tahun disambut bukan sekadar sebagai hari kebesaran Islam, namun lebih besar daripada itu adalah memberi isyarat dan ingatan kepada kita mengenai Rukun Islam kedua.

Juga menjadi titik penting buat kita menggandakan usaha mempertingkat ibadat kepada Allah S.W.T dengan menjadi kualiti dan kuantitinya, bersiap sedia menerima Ramadhan dalam kehidupan kita.

- Advertisement -

Banyak dalil yang memberi penekanan terhadap ibadat solat, antaranya daripada Umar al-Khattab R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya;

“Solat itu adalah tiang agama. Barang siapa yang mengerjakannya, bererti ia menegakkan agama, dan barang siapa yang meninggalkannya, bererti ia telah merobohkan agama”

(Riwayat al-Baihaqi)

Maka, di saat ujian wabak COVID-19 melanda seluruh dunia ketika ini, sewajarnya umat Islam mengambil peluang untuk menilai semula tahap dan kesempurnaan solat kita lakukan sekurang-kurangnya 5 kali sehari semalam.

Malah Hadis tersebut turut menjelaskan bahawa tanpa solat yang didirikan dengan sempurna atau lalai, tertolak seluruh amalan kebaikan yang lain termasuk puasa Ramadhan, zakat, haji, sedekah dan sebagainya.

Solatlah kamu sebelum kamu disolatkan menjadi peringatan buat kita yang masih hidup dan punyai peluang yang baik untuk memastikan solat yang menjadi amalan pertama dihisab oleh Allah S.W.T di akhirat kelak.

Allah S.W.T berfirman dalam surah Toha ayat 132 yang bermaksud;

“Perintahkan keluargamu serta umatmu mengerjakan solat. Dan hendaklah engkau bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah), kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa”.

InsyaAllah, melalui solat yang didirikan sebagaimana diperintahkan dapat mendisiplinkan hidup kita sebagai hambaNya yang taat serta bersyukur dan bersabar dengan ujian yang menimpa walau seberat mana sekalipun.

Yakin dan percayalah bahawa, solat fardhu yang turut disertakan dengan solat sunat akan memberikan kehidupan yang lebih baik setidak-tidaknya istiqamah dengan solat sunat dhuha, solat sunat witir dan solat sunat tahajjud.

Firman Allah S.W.T lagi dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud;

“Dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedah dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan”.

Apabila solat dijaga waktu dan sifatnya dengan baik, nescaya besarlah nikmat Allah S.W.T kepada kita dalam mengecapi rahmat dan redhaNya menjadikan kita orang beriman dan bertakwa.

Moga Allah S.W.T mempermudah segala urusan kita di dunia dan di akhirat serta menerima segala amal kebaikan diri, keluarga dan seluruh umat Islam seterusnya dimasukkan ke syurga kekal abadi.

Oleh: ZULFAHMI RAMLI – HARAKAHDAILY 24/3/2020

- Advertisement -