Covid-19: MP K.Terengganu bantu mahasiswa

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Segelintir pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti UniSZA (Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin), UMT (Universiti Malaysia Terengganu) dan UiTM (Chendering) yang masih berada di pusat pengajiannya, masing-masing diberi bantuan berupa pek bekalan makanan.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah mengambil langkah menghulurkan bantuan berupa bekalan makanan dan minuman kepada beberapa buah sekolah dan universiti di sekitar Kuala Terengganu.

Katanya, bantuan itu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan bagi tujuan menyekat penyebaran wabak Covid-19 sejak 18 Mac lalu.

“Arahan sekatan PKP itu sedikit sebanyak menjejaskan pembelajaran di dalam dan luar kelas serta tidak dapat dijalankan secara menyeluruh.

“Kita dimaklumkan, ada sebahagian pelajar yang tidak pulang ke kampung halaman masing-masing kerana mereka terlibat dalam membuat persediaan menghadapi peperiksaan dan ada yang tinggal terlalu jauh (Sabah dan Sarawak),” ujarnya ketika ditemuramah oleh radio Terengganu FM.

Menurutnya, bantuan yang diberikan itu berbentuk biskut, air mineral, pek minuman, roti dan kotak kurma bagi membantu sedikit sebanyak sumber makanan kepada pelajar terbabit.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menjelaskan, akibat dari sekatan PKP itu rakyat terjejas punca pendapatan keluarga kerana tidak dapat bekerja seperti biasa.

“Saya tahu, ramai yang terjejas kerana sekatan PKP ini dan rakyat hilang pendapatan kerana tidak dapat bekerja seperti hari biasa.

“Saya sendiri sudah pun mengatur langkah untuk menghulurkan bantuan enam buah sekolah pondok dan universiti termasuklah UiTM Chendering, UMT dan UniSZA,” jelasnya ketika bersiaran langsung di radio berkenaan.

Namun, kata beliau, kerajaan Terengganu juga telah mengambil langkah yang perlu dan pro-aktif melalui Pakej Rangsangan Terengganu Cakna Fasa 1 dan Fasa 2 bagi membantu rakyat terjejas.

Menurutnya, melalui pakej rangsangan pertama sebanyak RM640,000 diperuntukan untuk keperluan harian golongan miskin dan pelbagai inisiatif lain bagi pakej rangsangan fasa 2 tersebut.

“Saya dimaklumkan, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) juga telah mengambil tindakan membantu golongan asnaf terjejas akibat wabak Covid-19 dengan menubuhkan skuad ‘On Call Covid-19 Maidam’,” ujarnya.

Kata beliau, sendiri telah beberapa kali turun ‘padang’ bagi meninjau keadaan semasa rakyat bawahan sebelum dan selepas sekatan PKP dikuatkuasakan.- HARAKAHDAILY 24/3/2020

- Advertisement -