Covid-19: DPPM menyambut baik inisiatif kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik pengumuman inisiatif kerajaan dalam menghadapi krisis Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan langkah yang baik dalam membantu rakyat dalam keadaan negara mengalami krisis Covid-19.

Namun, ada setengah pihak yang kurang bersetuju apabila menyifatkan keputusan membenarkan pengeluaran akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM500 selama 12 bulan dikatakan adalah duit rakyat bukan bantuan daripada kerajaan.

- Advertisement -

Menjelas perkara berikut, katanya yang memetik penulisan Ibnu Khaldun dalam bukunya Mukaddimah yang menyatakan; ‘hasil atau simpanan jika manfaatnya kembali kepada seseorang dan dapat membelanjakanya untuk kemaslahatan serta keperluan ia adalah rezeki’.

Manakala katanya, pendapatan yang diperoleh seseorang merupakan hasil dari nilai pekerjaan mereka.

“Inisiatif ini bukan yang terakhir daripada kerajaan yang mana akan ada lagi pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi dan bantuan rakyat yang komprehensif akan dimaklumkan oleh Perdana Menteri pada 30 Mac ini,” katanya menerusi ‘Sembang Santai Pengumuman Majlis Tindakan Ekonomi, Apa Kata Anda’ di Facebook beliau malam tadi.

Selain itu jelasnya, masalah utama dalam ekonomi sesebuah negara adalah berikutan fenomena kekurangan yang berlaku akibat sumber alam yang terhad serta kehendak manusia yang tidak terbatas.

Menurutnya, negara kini bukan sahaja berdepan dengan krisis Covid-19 malahan pertembungan negara pengeluar minyak terbesar dunia iaitu Rusia dan Arab Saudi sehingga harga minyak dunia jatuh.

Dalam keadaan negara menghadapi krisis, katanya yang melihat strategi Nabi Yusuf sebagai langkah terbaik iaitu dengan memastikan ekonomi diurus oleh pemimpin berintegriti dan memastikan tidak berlakunya kebuluran dalam kalangan rakyat.

“Dalam sistem pengurusan ekonomi Nabi Yusuf sewaktu Mesir menghadapi krisis kemarau, pemimpin yang berintegriti dilantik bagi memastikan ekonomi diurus dengan baik.

“Keduanya mengelakkan berlakunya kebuluran dalam kalangan rakyat yang mana sistem rangkaian makanan perlu sempurna dan cukup,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yang prihatin dengan keadaan negara pada hari ini, mencadangkan supaya kerajaan mengurangkan cukai pendapatan sekurang-kurangnya 5 peratus atau ke bawah.

Meskipun katanya menyedari pendapatan kerajaan akan berkurangan, namun ia membolehkan keupayaan rakyat berbelanja meningkat.

Selain itu, beliau juga mencadangkan supaya kerajaan memberi bonus kepada ‘frontliner’ yang kini berkorban nyawa demi untuk mengawal keadaan berikutan penularan Covid-19.

Semalam, Perdana Menteri telah mengumumkan beberapa inisiatif bagi membantu meringankan bebanan rakyat berikutan krisis Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.- HARAKAHDAILY 24/3/2020

- Advertisement -