SEKULARISM dan realiti
(1) Allah S.W.T berfirman;
وَإِذِ ٱعۡتَزَلۡتُمُوهُمۡ وَمَا یَعۡبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ فَأۡوُۥۤا۟ إِلَى ٱلۡكَهۡفِ یَنشُرۡ لَكُمۡ رَبُّكُم مِّن رَّحۡمَتِهِۦ وَیُهَیِّئۡ لَكُم مِّنۡ أَمۡرِكُم مِّرۡفَقࣰا
“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna.”
(al-Kahfi: 16)
(2) Antara penyakit yang diceritakan oleh Sayyid Muhammad Nuh di dalam kitabnya آفات على الطريق meletakkan bahawa ‘uzlah’ juga merupakan salah satu penyakit di jalan dakwah.
Melalui catatan beliau, antara hasil uzlah yang berpenyakit ini menghasilkan putus asa, bukanlah melahirkan kesungguhan menjaga diri dalam situasi tiada jamaah.
(3) Mereka terkesan dengan serangan Sekularism bahawa masyarakat sudah rosak, disebabkan kerosakan pemerintah. Lalu Sekular membuat tawaran kepada orang-orang Islam untuk menjaga diri sendiri dan jangan campuri urusan pemerintahan.
Maka, pemerintah yang rosak akan terus selesa dengan kerosakannya tanpa dikacau dan digugat kerana orang-orang yang baik sudah menyembunyikan diri, menyepi di dalam gua dan rumah.
(4) Hakikatnya Surah al-Kahfi yang menceritakan mengenai uzlah kumpulan Ashabul Kahfi sesuai dengan zaman mereka, iaitu bagi menyelamatkan iman.
Namun, jika hari ini tak pasal-pasal nak beruzlah, seolah-olah meninggalkan medan perjuangan. Memilih untuk bersendiri dan tidak mahu fikirkan hal masyarakat.
Mengasingkan diri
(1) Uzlah diterjemahkan sebagai mengasingkan diri. Jelas sepertimana firman Allah S.W.T di dalam ayat Surah al-Kahfi tadi, bahawa pengasingan tersebut bagi menyelamatkan iman mereka.
Mereka bukanlah meninggalkan perjuangan. Mereka juga bukanlah membiarkan masyarakat rosak. Akan tetapi keutamaan ketika itu ialah menyelamatkan akidah sendiri.
(2) Di sini kita perlu memahami konteks pengasingan diri pada hari ini, sama ada ia adalah pengasingan yang dibenarkan syarak atau sebaliknya.
(3) Antara yang diutarakan oleh Sayyid Muhammad Nuh mengenai uzlah;
“Ialah mengutamakan penghidupan secara berseorangan dengan meninggalkan penghidupan secara berjamaah. Cara yang demikian menjadikan seseorang amilin merasai sudah cukup untuknya mendirikan Islam dengan dirinya sendiri, tanpa mempedulikan orang lain, sekalipun orang lain menghadapi kebinasaan atau kehilangan, atau seseorang itu cuba menegakkan Islam dalam dirinya sendiri. Kemudian secara berseorangan, ia berusaha sedaya upaya untuk menegakkannya di kalangan orang ramai tanpa meminta pertolongan dan sokongan para amilin lain yang sama sama berada di medan perjuangan.”
(4) Antara yang disebutkan oleh beliau mengenai faktor uzlah antaranya ialah cuba meniru golongan terdahulu yang berada di situasi yang berbeza dengan hari ini.
Antaranya kisah Nabi Ibrahim A.S, kisah Abu Zar R.A, kisah Abdullah Ibn Umar R.A, kisah Imam Malik R.A dan beberapa dalil yang menggambarkan galakan beruzlah.
Situasi berbeza
(1) Tidak dinafikan, jika kita mengkaji sejarah terdahulu kita akan dapati bahawa ada dari kalangan mereka beruzlah. Tetapi situasi mereka jauh berbeza dengan hari ini.
(2) Antaranya kisah Ashabul Kahfi sendiri. Antara yang lain kisah Nabi Ibrahim A.S di dalam Surah Maryam ayat 48 dan 49;
وَأَعۡتَزِلُكُمۡ وَمَا تَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَأَدۡعُوا۟ رَبِّی عَسَىٰۤ أَلَّاۤ أَكُونَ بِدُعَاۤءِ رَبِّی شَقِیࣰّا
“Dan aku akan membawa diri meninggalkan kamu semua serta apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; dan aku akan beribadat kepada Tuhanku dengan ikhlas; mudah-mudahan aku dengan ibadatku kepada Tuhanku itu tidak menjadi hampa (dan derhaka seperti kamu)”.
فَلَمَّا ٱعۡتَزَلَهُمۡ وَمَا یَعۡبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَهَبۡنَا لَهُۥۤ إِسۡحَـٰقَ وَیَعۡقُوبَۖ وَكُلࣰّا جَعَلۡنَا نَبِیࣰّا
“Maka apabila ia berhijrah meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah yang lain dari Allah kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya); dan kedua-duanya Kami jadikan berpangkat Nabi.”
(3) Kisah Abdullah Ibn Umar R.A dan Abu Zar R.A mereka beruzlah ketikamana berlakunya pertelingkahan sesama Umat Islam di zaman mereka sehingga tercetusnya perang.
Manakala Imam Malik R.A berhadapan dengan pemerintah di zamannya yang zalim. Jelas situasi yang berbeza setiap zaman, dan mereka beruzlah atas kefahaman terhadap keutamaan.
Uzlah dan perpecahan
(1) Hari ini ada dari kalangan asatizah yang memilih untuk tidak melibatkan diri dengan jamaah atas alasan menjaga nama. Katanya untuk berdakwah.
Sayyid Muhammad Nuh menyatakan;
“Kadang kala sebab yang mendorong seseorang amilin itu kepada perlakuan uzlah ialah kerana ia beranggapan dengan penyertaannya di dalam jamaah, maka kewibawaan dirinya akan hilang dan ketokohannya juga akan terjejas. Dia akan menjadi pak turut, kalau orang ramai baik dia akan jadi baik, sebaliknya kalau mereka jahat dia akan jahat dan dia melupai pertimbangan mengenai kepentingan individu dan kepentingan jamaah.”
(2) Antara yang menjadi punca uzlah ialah berbilangnya pertubuhan dan jamaah yang bekerja untuk agama Allah. Ini menjadikan para amilin itu kebingungan.
Sayyid Muhammad Nuh menyatakan;
“Ia akan tertanya-tanya dengan pertubuhan atau persatuan yang mana satu seharusnya disertai dan yang mana satu pula ia akan jauhi. Dalam keadaan ini ia akan mengambil sikap untuk berseorangan dan beruzlah, lebih-lebih lagi ia tidak mengenali dan memahami dasar perjuangan persatuan dan pertubuhan tadi.”
(3) Realiti inilah yang sedang terjadi pada hari ini, apabila umat Islam berpecah sibuk memperjuangkan kumpulan masing-masing kerana menyangka mereka betul.
Masa depan yang mencabar
(1) Realiti perpecahan Umat Islam pada hari ini perlu dimuhasabahkan. Ada yang berpecah kerana merasakan kumpulannya betul. Ada yang merasakan jamaah yang sedia ada sudah jauh terpesong.
Ada pula yang memilih untuk tidak berpihak mana mana, kononnya neutral atau profesional. Sambil bibirnya meratib siang dan malam menyatakan politik itu kotor.
(2) Hakikatnya mereka seolah-olah menggambarkan pemisahan antara profesional dengan politik. Seolah-olah semua orang politik itu digambarkan sebagai penjahat.
Mereka juga ada yang mengatakan, kami terima politik Islam, tetapi kami menolak kepartian. Kepartian membawa kepada taksub kata mereka.
Sedangkan secara tak langsung mereka menolak kewajipan berjamaah sekiranya jamaah itu menjadikan parti politik sebagai wasilah untuk menegakkan Islam.
(3) Kita sedar bahawa generasi baru sudah muak dengan politik. Bukan disebabkan politik, tetapi disebabkan politikus yang tak boleh diharap.
(4) Justeru, gerakan Islam perlu mengembalikan keyakinan generasi baru terhadap politik yang benar, yang selari dengan landasan Islam. Jika tidak, masa depan gerakan Islam lebih rencam.
Iaitu apabila golongan non-partisan itu lebih mendominasi. Maka, ketika itu agak sukar untuk membina kefahaman mengenai kewajipan berjamaah.
Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 23/3/2020