Thailand tutup sembilan pintu sempadan

KOTA BHARU: Kerajaan Thailand akan menutup kesemua sembilan pintu sempadan darat dan air antara Thailand–Malaysia bermula malam ini sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Bahagian Asia Tenggara Kementerian Luar Negeri Thailand berkata, penutupan pintu sempadan dilaksanakan di semua pintu-pintu sempadan Thailand dengan negara-negara berjiran seperti Malaysia, Laos, Kemboja dan Myanmar.

Advertisement

Katanya, sepanjang pelaksanaan penutupan sementara pintu-pintu sempadan terbabit, semua warga negara Thailand dan warga negara asing tidak dibenarkan untuk keluar atau masuk ke Thailand.

“Rakyat Thailand di Malaysia yang ingin pulang ke negara tersebut hanya dibenarkan untuk menggunakan laluan udara sahaja.

“Warga negara Malaysia yang ingin pulang ke Malaysia juga hanya dibenarkan untuk menggunakan laluan udara sahaja,” katanya pada kenyataan di sini.

Kenyataan itu turut dikongsi laman sosial Timbalan Menteri Timbalan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff.

Kementerian Luar Negeri Thailand juga memberitahu bagi pergerakan barang-barang hanya satu pintu sempadan darat/air di setiap wilayah bersempadan dengan Malaysia akan dibuka.

Wilayah Songkhla: Pintu Sempadan Sadao–Bukit Kayu Hitam (Kedah).
Wilayah Narathiwat: Pintu Sempadan Sungai Golok–Rantau Panjang (Kelantan).

Wilayah Satun: Pintu Sempadan Wang Prachan–Wang Kelian (Perlis).
Wilayah Satun: Jeti Thammalang–Jeti Kuala Perlis dan Wilayah Yala: Pintu Sempadan Betong–Pengkalan Hulu (Perak).- HARAKAHDAILY 23/3/2020