PAS Kedah sokong pengumuman PM

- Advertisement -

PAS Kedah menyambut baik pengumuman Khas Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membantu rakyat menghadapi penularan pandemik Covid-19 yang dilihat amat memberangsangkan, wajar dan matang.

Paling ketara apabila PM mengumumkan inisiatif kerajaan bakal menyalurkan RM130 juta kepada kerajaan negeri-negeri secara sama rata tanpa mengira parti politik untuk memberi bantuan antaranya kepada penjaja kecil, pesakit dan petugas yang terlibat menangani Covid-19.

Tindakan kerajaan Pusat ini lebih terbuka, wajar dan matang berbanding keputusan kerajaan Negeri Kedah pada 22 Mac 2020 lalu, mengumumkan penyaluran wang inisiatif kepada rakyat dibuat melalui EXCO angkat bagi 17 DUN yang diwakili PAS dan BN.

- Advertisement -

Ekoran itu, PAS Kedah membantah tindakan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir yang dilihat masih mengamalkan politik sempit dalam suasana krisis pandemik yang amat mendesak kini.

Amat menghairankan, dalam keadaan Kedah mempunyai 36 Pusat Khidmat mewakili 36 Adun masing-masing, kenapa pula bertindak mengecilkan bilangan dengan menafikan peranan 17 ADUN Pembangkang?

Kenapa hanya 19 pusat berperanan untuk seluruh 36 DUN di Kedah dalam keadaan kaedah agihan yang masih belum dirangka.

Rakyat dalam keadaan terdesak begini inginkan pembelaan berbentuk barangan harian dan kewangan, usahlah mendera perasaan rakyat hanya kerana mempertahankan ego berpolitik sempit.

PAS Kedah bersama seluruh kepimpinan dan ahli serta kekuatan akar umbi di setiap jajaran bersedia untuk bersama rakyat terbanyak dalam nenghadapi sebarang kemungkinan bakal berlaku. Insya-Allah.

‘ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN’

Salam Hormat,
USTAZ HAJI AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah – HARAKAHDAILY 23/3/2020

- Advertisement -