Lim Kit Siang yang ‘tak reti bahasa’

- Advertisement -

KETIKA  semua manusia yang ada perasaan sedang memerhatikan dengan serius perkembangan keadaan terkini wabak COVID-19 yang melanda negara kita yang tercinta ini, tiba-tiba muncul watak pengacau yang sangat dibenci oleh rakyat Malaysia yang waras di dalam media sosial.

- Advertisement -

Isunya cukup mudah. Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan mengatakan minum air panas boleh membantu menyahkan virus masuk ke dalam perut yang kemudian akan kalah dengan asid di situ. Kemudiannya saranannya mendapat bantahan dari ramai doktor-doktor.

Selepas itu, ia menjadi tular dan Pak Menteri ditertawakan orang dengan berbagai lawak yang diposkan oleh mereka. Bagi saya yang tidak tahu tentang ilmu perubatan, pada mulanya berfikir, ikut kamulah Menteri, siapa yang suruh cari pasal, buat kenyataan kelakar.

Setelah itu saya membaca satu kenyataan dari Lim Kit Siang yang telah cuba menjadikan isu ini bagaikan satu kesalahan Dr Adham yang sangat serius, sehingga meminta beliau ditukarkan atas alasan negara tidak memerlukan pelawak ketika waktu genting sebegini. Saya terfikir perkara lain.

Dan sebelum itu, saya juga mendapat mesej dari doktor yang mengatakan Dr Adham menjadi bahan lawak oleh doktor-doktor dari ‘satu kaum’ dalam kumpulan aplikasi WhatsApp. Hanya ‘satu kaum’, tiada bangsa lain dalam kumpulan itu yang mempermainkan Dr Adham. Saya mula ragu dan mencari bahan. Ia seperti sokongan kepada LKS supaya Menteri dilihat bodoh, perlu ditukar. Ianya gerakan berkumpulan.

Alhamdulillah, saya menjumpai sedikit perkongsian dari doktor pakar yang lain. Dr Amalina dan Dr Imelda dalam kenyataan mereka, tidaklah sampai menghina apa yang mereka katakan sebagai kesilapan mitos Dr Adham, cuma dakwa mereka tiada bukti saintifik. Seorang rakan saya doktor pakar pun begitu. Dia jelas tidak setuju, tetapi malas komen. Saya cari lagi dan berjumpa komen pakar lain.

Baik, Dr Adham melakukan kesalahan. Saya ambil ini sebagai pegangan. Ia menyalahi WHO. Tetapi ianya tidak memudharatkan kerana saranan beliau hanya minum air suam. Jika kita minum sekalipun, tak akan ada apa-apa terjadi. Hanya virus sahaja yang tak dibuktikan turun ke perut. Tetapi meminum banyak air suam, adalah digalakkan. Itu tiada siapa yang nafikan. Titik.

Tetapi apabila Lim Kit Siang mencadangkan supaya Dr Dzulkefly Ahmad diangkat kembali bagi mengetuai Kementerian Kesihatan, maka mata rakyat yang bijak seharusnya menjadi terbeliak kerana kesalahan Dr Dzul lebih parah. Beliau tidak menyekat pergerakan rakyat ke China yang ketika itu sedang dilanda wabak yang diisytiharkan oleh WHO.

Setelah keputusan diambil Dr Dzul ketika itu tidak mengendahkan dengan pengumuman WHO konon takut panik, adakah beliau sekali lagi dicadang diangkat menjadi Menteri? Kegilaan apakah atas cadangan ini? Apa jasa besar yang Dr Dzul lakukan sehingga kita mesti meletakkan sekali lagi nyawa rakyat Malaysia dalam risiko?

Dapatkah kita membezakan, antara mengajak rakyat minum air suam dan salah menerangkan virus akan terhapus kerana air suam itu, dengan kesalahan menyanggahi WHO bagi menyelamatkan negara dan menuduh pula WHO yang menasihat itu sebagai hanya menyusahkan kerana rakyat panik? Dan, rakyat majoritinya bersetuju tindakan lambat PH dahululah yang menjadikan keadaan kini semakin parah. Mereka mahu rakyat melupakannya.

Jadi jelas, Lim Kit Siang belum puas menari di pentas politik dengan politik jeleknya. Dia pernah berjanji akan meletakkan jawatan jika sekiranya Tun Mahathir tidak menyerahkan jawatan PM kepada Anwar. Nah sekarang, inilah masanya bagi dia bersara dari persada politik Malaysia.

Tidak boleh cara baik, cara jahat dibuatnya. Sedang rakyat berkabung dengan kematian demi kematian, kes demi kes, dia cuba mengangguk di air keruh bagi kepentingan politiknya. Memang dasar kurang ajar, tidak tahu adab berpolitik, dalam keadaan negara perlukan kesatuan, kepercayaan antara satu sama lain, dia kelihatan cuba memecahkan. Sungguh ‘tak reti bahasa’ LKS ini.

Lihatlah semua wahai rakyat, sama ada Melayu, Cina dan India yang cintakan negara, politik penipuan yang dibawakan oleh DAP ini, sebenarnya sudah berakhir. Apa yang mereka mahukan ialah memuaskan kehendak nafsu mereka sahaja, bukan kepentingan negara. Bukan hanya DAP, bahkan PH keseluruhannya.

Buktinya lagi, ketika negara dalam keadaan cemas begini, Ulamak PAN yang sudah sangat lama disimpan dalam peti sejuk, keluar mengemukakan fatwanya, bukan berkenaan isu terkait dengan masalah wabak yang menyerang negara sekarang, tetapi fatwa dosa besar jika mengkhianati amanah Kerajaan Pakatan Harapan. Apa kata anda? Bukankah itu mementingkan diri?

Anwar pula tidak habis-habis melalak-lalak memberitahu dunia yang Tun Mahathir menipu dia. Bak kata P.Ramlee “Kamu kan tahu dia tu penipu, muka dia pun muka penipu. Yang kamu berdua bijak pandai yang boleh kena tipu dengan dia tu, pasal apa? Kamu berdua yang bodoh”. Saya yakin semua bersetuju dengan ayat P. Ramlee ini.

Tetapi dalam episod ini, yang paling menyedihkan ialah ada lagi Melayu-Islam yang cukup dungu, masih mengharapkan kemenangan DAP sekali lagi. Mereka tetap gagah menyokong DAP ini. Gembira sungguh mereka dengan lawak Dr Adham itu, bagaikan menang PRU, bagaikan negara mereka dapat tawan kembali. 

Setia sungguh mereka dengan DAP. Apa yang DAP kutuk, mereka kutuk sama, bagaikan kumpulan koir, berpadu suara mereka bersama-sama mengikut arahan konduktor muzik. Dulu mereka tuduh PAS ambil rasuah RM90 juta. Kemudian ‘kerajaan pintu belakang’, mereka pun ikut kata. Sekarang sudah diam kerana ditegur Tuanku. Tidakkah kamu malu dan mahu berubah?

Berbakul kenyataan lawak Menteri-menteri PH dahulu yang boleh kita arkibkan. Tetapi mereka perasan yang merekalah yang terbaik. Sama seperti isu air suam tadi, tiada bukti saintifik yang menyokong dakwaan kebodohan Menteri-menteri PH akan menyelamatkan Malaysia. Tiada langsung. Apatah lagi peratusan undi popular mereka lebih rendah dari PN.

Cukuplah kita semua berpolitik ala DAP ini. Mereka tahu segala isu yang mahu mereka bangkitkan, tidak lagi akan dilayan oleh rakyat kerana kepercayaan rakyat terhadap pimpinan negara. Maka lama kelamaan jika ini berterusan mereka akan hilang dari radar dan sememangnya mereka mesti dihilangkan kerana tiada keperluan kewujudan mereka ini. 

Maka mereka mesti memusnahkan reputasi Kerajaan PN, bermain politik, walaupun dalam keadaan meruncing begini. Jadi bagi memastikan Malaysia aman tanpa pemecah kesatuan negara, marilah kita menyokong kerajaan sekarang yang berada dalam keadaan yang sangat mencemaskan. Kita bantu pasukan hadapan negara. Jangan dilayan LKS dan pakatannya itu yang menyusahkan negara.

MOHD NASIR ABDULLAH 
23 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 23/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -