Israk dan Mikraj: Kunci mengembalikan kuasa Islam

- Advertisement -

KUNCI menguasai dunia

(1) Israk dan Mikraj merupakan salah satu peristiwa terpenting dalam sejarah umat Islam, apatah lagi di sana terdapat tanda-tanda kembalinya kemenangan Islam.

Sepanjang sejarah, menyaksikan bahawa kunci untuk menguasai dunia ialah dengan menguasai Palestin. Seolah-olah sudah tercatur begitu.

(2) Pada zaman Nabi Sulaiman A.S, Bani Israel menguasai Palestin dan ketika itulah Nabi Sulaiman A.S menjadi raja dunia sepertimana yang telah disebutkan dalam kitab sejarah.

Selepas kematian Herod The Great (74 SM hingga 4 M) Palestin dikuasai oleh Rom Byzantium. Ketika itu Byzantium bergelar kuasa besar, bersaing dengan Parsi.

(3) Kemudian pada 636/637 Masihi, Palestin dibebaskan oleh Saidina Umar R.A dan menjadikan Islam sebagai kuasa besar dunia ketika itu dalam tempoh yang panjang.

(4) Pada 1917 bermulanya agenda Israel memasuki Palestin, sehinggalah diisytiharkan sebagai Negara Israel pada 1947 dan 1948.

- Advertisement -

Pengisytiharan yang dilihat berat sebelah oleh PBB itu tidak mungkin boleh bertahan lama. Justeru, sejak 1982/83 Amerika yang menjadi tulang belakang Israel merancang pelbagai projek.

Antaranya Yinon Plan 1982, Pemetaan Semula Asia Barat Bernard Lewis 1983, NME Ralph Peters 2006 dan yang terkini ialah Deal Of The Century 2017.

Jangkaan mereka

(1) Mereka merancang untuk membina Israel Raya yang sepatutnya dijadualkan pada 2020 ini [1] yang telah saya huraikan dalam banyak artikel sebelum ini.

Jika dilihat dan dikaji mengapa mereka sangat gelojoh untuk menguasai Palestin dari tangan Umat Islam sejak 1896 melalui buku Thedor Hertzel?

Ini kerana mereka benar-benar ingin menguasai dunia kerana berdasarkan sifir mereka, bahawa ‘siapa yang menguasai Palestin, ia akan kuasai dunia’.

(2) Proses penjajahan yang panjang ini hakikatnya bukanlah laluan senang buat Israel untuk muncul sebagai kuasa besar atau Pax Judaica.

Walaupun banyak pelan mereka kelihatan berjaya, namun bukan bermakna Pax Judaica itu akan berjaya dengan mudah. Apatah lagi saingan daripada Russia tambah China dan beberapa negara Islam seperti Iran.

(3) Mereka pernah menjangkakan kuasa Islam akan bangkit menggantikan Soviet yang runtuh pada 1991. Justeru, mereka melancarkan peluru-peluru Islamophobia

Antara kemuncak cetusannya ialah peristiwa 11 September 2001 yang menjadi poin penting untuk mewajahkan Islam sebagai pengganas dan pencetus keganasan.

(4) Selepas daripada itu, sekitar 2004, selepas gerakan-gerakan Islam diharamkan kerana dikaitkan dengan 11/9, mereka memunculkan model Islam ala Amerika.

Amerika, pertembungan dan kehausan

(1) Kemunculan Islam model Amerika yang lebih sederhana (moderate) cuba memesongkan Umat Islam. Usaha ini berjalan hingga ke hari ini.

Namun, sehingga saat ini tidak semuanya berjaya. Gerakan moderate ini ada yang menerima cabaran yang teruk di negara masing-masing.

(2) Tetapi hari ini apabila munculnya serangan COVID-19, seolah-olah teori mereka yang mengandaikan Islam bakal menggantikan Soviet itu seperti meleset. [2]

Sejak 2017/2018 menyaksikan pertembungan yang hebat antara China VS Amerika. Dengan projek BRI mereka yang seolah-olah ingin menguasai dunia.

(3) Persaingan Trade War, cabaran 5G seolah-oleh China muncul menjadi pencabar Amerika. Sebenarnya ia perkara biasa, apabila bergelar kuasa besar, sudah pasti ada pesaing.

Mana-mana negara yang muncul dengan teknologi baru dilihat sebagai pencabar. Itulah tabiat bagi kuasa besar, yang menganggap mereka akan kekal berkuasa.

(4) Pada 1987, Paul Kennedy di dalam bukunya The Rise And Fall Of The Great Powers beliau melontarkan keyakinan yang tinggi bahawa kuasa Amerika juga akan tamat riwayatnya bila sampai waktunya.

Antara rasionalnya, atas sebab kehausan sumber ekonomi (overstrecth). Satu kemungkinan yang logik ke arah pengalihan kuasa besar dunia ke arah Pax Judaica (Israel Raya).

Mengembalikan kuasa Islam

(1) Asy Syahid Sayyid Qutb menyatakan;

وقصة بني إسرائيل هي أكثر القصص ورودا في القرآن الكريم; والعناية بعرض مواقفها وعبرتها عناية ظاهرة، توحي بحكمة الله في علاج أمر هذه الأمة المسلمة، وتربيتها وإعدادها للخلافة الكبرى

“Dan kisah Bani Israel merupakan kisah yang paling banyak disebutkan di dalam al-Quran, dan memberi fokus kepada pengajarannya merupakan satu fokus yang menampakkan kebijaksanaan Allah S.W.T di dalam memulihkan permasalah umat Islam, susunannya, dan mempersiapkannya untuk pembentukan khilafah.”

(2) Demikianlah kunci kepada pembentukan khilafah yang Allah S.W.T sediakan di dalam al-Quran. Iaitu dengan mengambil pedoman daripada kisah Bani Israel.

(3) Antara lain, boleh lihat ayat 15 dan 16 Surah al-Baqarah, mengenai ilmu yang diberikan kepada Nabi Adam A.S sebagai bukti kelayakan menjadi khalifah.

(a) Nabi Adam A.S diberikan ilmu melambangkan sesuatu (komunikasi) dan Nabi Sulaiman A.S diberikan ilmu komunikasi dengan semua makhluk. Manakala Nabi Daud A.S (ayah Nabi Sulaiman) diberikan ilmu melembutkan besi.

(b) Seakan-akan menjadi klu kepada pembentukan khilafah. Hal ini disedari oleh Barat, lalu mereka hari ini menguasai telekomunikasi dan persenjataan yang berasaskan besi.

(2) Era globalisasi sejak pertengahan 90-an menyaksikan bagaimana Barat menggunakan komunikasi untuk menguasai dunia dengan permainan maya.

(a) Menimbulkan propaganda dengan maya, dan menyerang negara-negara dengan menggunakan senjata. Kemunculan mereka ini apabila mereka mencedok ilmu-ilmu ini dari gedung Islam.

Umat Islam perlu disedarkan

(1) Apabila berbicara mengenai Israk Mikraj, kita perlu sedar mengenai kuasa Islam. Ke manakah hilangnya kuasa Islam yang dijatuhkan pada 1924?

Ke manakah hilangnya kemunculan kuasa Islam dijangkakan oleh Amerika pasca kejatuhan Soviet? Walau bagaimanapun, kita mesti yakin dengan masa depan Islam.

(2) Negara-negara Islam yang berada di sekitar Palestin adalah negara yang diberkati, sepertimana firmanNya;

الذي باركنا حوله

“Yang kami berkati di sekitarnya.”

(al-Isra: 1)

Negara-negara itu sepatutnya menjadi benteng kepada Palestin. Namun hari ini sudah menjadi normalisasi dengan Israel yang menguasai Palestin. [3]

(3) Mungkin Umat Islam hari ini perlu lebih menyampaikan falsafah sebenar Israk dan Mikraj dari sudut usaha mengembalikan kuasa Islam.

(4) Menceritakan mengenai situasi Umat Islam sedunia, dan perancangan Israel menguasai Palestin. Ini kerana Umat Islam perlu disedarkan dengan realiti ini.

Iaitu realiti kehilangan kuasa, realiti penjajahan minda, realiti perpecahan yang tak berkesudahan dengan sektarian mazhab dan banyak lagi.

Semuanya menjadi faktor kepada kehilangan kuasa Islam. Ia disimbolkan oleh Allah S.W.T melalui peristiwa Israk dan Mikraj yang disambut setiap tahun.

[1] https://www.google.com/amp/s/www.globalresearch.ca/greater-israel-the-zionist-plan-for-the-middle-east/5324815/amp

[2] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3566967673344967&id=100000953077134

[3] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3033312553377151&id=100000953077134

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 23/3/2020

- Advertisement -