COVID-19: Insentif K’jaan S’wak dan Pusat dihargai

- Advertisement -

DI SAAT rakyat panik dengan penularan wabak COVID-19 ini, penting bagi kerajaan untuk berterusan berhubung dekat dengan rakyat. Insentif-insentif serta inisiatif kerajaan selain daripada sidang media setiap detik di kaca telivisyen dan dalam talian di laman sosial sangat membantu untuk mengurangkan panik. Panik dalam kalangan masyarakat ini akan menyebabkan pergerakan manusia di suatu tempat ke satu tempat berterusan biarpun arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuat. Ini sejajar dengan apa yang dilakukan oleh negara yang teruk diserang wabak ini seperti Korea Selatan.

- Advertisement -

Pengumuman bantuan RM250 setiap bulan yang dikenali sebagai Pakej Bantuan Khas SarawakKu Sayang oleh Ketua Menteri Sarawak sebentar tadi sangat dialu-alukan. Pemberian secara bulanan selama 6 bulan ini akan diberikan kepada golongan B40. Mereka adalah golongan yang sangat teruk terjejas kerana ramai juga dalam kalangan mereka adalah dari peniaga-peniaga kecil dan kerja kampung yang sudah tentu terputus sumber pendapatan apabila tempoh PKP sedang berjalan.

Usaha Kerajaan Sarawak ini adalah langkah yang sangat tepat dan ini adalah contoh kejayaan pelaksanaan slogan “Utamakan Sarawak” oleh kerajaan negeri. Selain itu, inisiatif dari Kerajaan Persekutuan sebagaimana diumum Perdana Menteri pula di mana pencarum KWSP boleh mengeluarkan wang simpanan akaun kedua mereka sehingga RM500 sebulan selama 12 bulan juga tepat pada waktunya. Ini akan menjadi tambahan pula kepada mereka yang memiliki caruman tersebut. Sudah pasti atas inisiatif yang baik oleh kerajaan ini diharapkan individu berkenaan mengutamakan sara hidup seperti makanan, sewa rumah atau bil-bil utiliti terlebih dahulu. Perbelanjaan yang lain seperti pinjaman bank dinasihatkan agar memohon untuk mendapatkan tangguhan bayaran sepertimana yang telah diberikan oleh kebanyakan institusi perbankan.

Dengan inisiatif yang baik dan pantas ini, diharapkan agar rakyat terus hidup dengan lebih baik di musim penularan wabak ini dengan patuh kepada arahan kerajaan dari masa ke semasa dan jangan sesekali panik. Berbelanja dengan sewenangnya dan boros hanya akan merugikan diri sendiri. Rakyat juga diharapkan agar sentiasa mengikuti perkembangan semasa yang sahih dan bukan berita palsu. Bagi terus membantu pihak kerajaan membendung penularan COVID-19 ini, rakyat juga disarankan untuk terus berdoa memohon agar keadaan kembali pulih seperti biasa dan kita kembali kepada kehidupan seharian kita dengan lebih baik.

ZHARUDIN NARUDIN
Ketua Penerangan
PAS Negeri Sarawak – HARAKAHDAILY 23/3/2020

- Advertisement -