BAGAN SERAI:Pusat Khidmat ADUN Gunung Semanggol mengambil inisiatif mengumpul sumbangan bagi membantu golongan memerlukan dalam menampung perbelanjaan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.
Pegawai Pusat Khidmat ADUN Gunung Semanggol, Ahmad Rosman Razali berkata, pihaknya memohon jasa baik orang ramai bagi menyokong usaha ini dalam memastikan kebajikan penduduk terpelihara sebaiknya.
Ulas beliau, pendapatan yang dimiliki oleh rakyat khususnya di kawasan Bagan Serai pastinya tidak sama rata di mana ada golongan yang bergantung kepada mata pencarian harian melalui usaha keras masing-masing.
“Dalam tempoh kuarantin ini, memang ada keluarga yang menghubungi pihak kami untuk dapatkan bantuan. Kebanyakan mereka adalah golongan yang berniaga dan bekerja dengan memiliki pendapatan secara harian,” jelas Ahmad Rosman.
Sementara itu, ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria berkata, pihaknya akan menggembleng tenaga mengumpul sumbangan orang ramai dan menyalurkan sumbangan kepada keluarga yang telah memohon sumbangan dari pihaknya.
“Di saat kita berkuarantin dan berbahagia kerana dapat bersama keluarga masing-masing, ternyata ada golongan yang terpaksa mengikat perut memikirkan bagaimana mahu mencari wang (rezeki). Keprihatinan orang ramai amat diperlukan dalam memurnikan usaha ini,” terang beliau.
Di kesempatan itu, Razman juga menyeru agar seluruh penduduk mematuhi arahan pihak berwajib dengan meminimumkan pergerakan keluar rumah bagi memutuskan rantaian COVID-19 yang kian menular kini.
Selain daripada sumbangan berbentuk makanan asas harian, pihak Pusat Khidmat ADUN Gunung Semanggol juga turut mengalu-alukan sumbangan berbentuk wang ringgit yang boleh disalurkan terus ke akaun Maybank Tabung Kebajikan Rakyat 5582 4820 7682. – HARAKAHDAILY 23/3/2020