95 peratus rakyat Kelantan patuhi PKP

- Advertisement -

TUMPAT: Kira-kira 95 peratus rakyat di Kelantan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan kerajaan bagi mengekang wabak Covid-19.

- Advertisement -

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, PKP yang memasuki hari keenam hari ini menyaksikan tahap pematuhan dalam kalangan rakyat di negeri itu meningkat.

Katanya, pematuhan tersebut termasuk dalam kalangan pengusaha premis perniagaan.

“Pematuhan terbabit meliputi premis-premis perniagaan dan pengguna jalan raya adalah baik kerana kita mahu memutuskan rantaian wabak daripada menular.

“Bagaimanapun saya meminta semua pihak dapat meningkatkan lagi usaha untuk sama-sama membantu kerajaan menangani wabak ini,” katanya selepas meninjau sekatan jalan raya anggota polis dan tentera di Pasir Pekan hari ini.

Sebanyak 41 sekatan jalan raya pula diadakan di seluruh Kelantan sejak 18 Mac lepas.

Menteri Besar juga mengucap terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menangani wabak itu.

“Peranan berterusan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia, anggota keselamatan termasuk polis, tentera, Pasukan Gerakan Am dan Rela begitu dihargai.

Difahamkan sebanyak 1,287 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 120 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 555 tentera ditugaskan sepanjang tempoh PKP di Kelantan. – HARAKAHDAILY 23/3/2020

- Advertisement -