Covid-19: Warga Cakna hulur bantuan buat ‘frontliner’

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Badan Bukan Kerajaan (NGO) Persatuan Prihatin Warga Terpinggir Terengganu (Warga Cakna) yang berpusat di Hulu Terengganu, mengambil inisiatif membantu kebajikan petugas barisan hadapan menangani isu Covid-19.

- Advertisement -

Pengerusinya, Dr Suhazeli Abdullah berkata dalam suasana negara ‘berperang’ dengan wabak Covid-19 para petugas di barisan hadapan amat memerlukan sokongan.

Apatah lagi, katanya Hospital Hulu Terengganu (HHT) ini menjadi pusat kuarantin kepada pesakit saringan virus yang merbahaya seperti Covid-19 ini.

“Atas rasa kebersamaan mendepani wabak pandemik Covid-19 ini. Semua pihak perlu tampil membantu bagi mengurangkan kesukaran yang ditanggung oleh pasukan petugas di barisan hadapan.

“Para doktor, jururawat dan pasukan keselamatan serta petugas-petugas lain yang terlibat secara langsung untuk menangani masalah wabak Covid-19 ini. Mereka tidak ada masa untuk berehat kerana terpaksa memberi tumpuan yang serius,” ujarnya kepada Harakah. 

Manakala, Ahli Jawatankuasa Warga Cakna, Dr Khatijah Musa berkata, NGO Warga Cakna kawasan Hulu Terengganu terpanggil untuk bersama mereka yang berkorban masa, tenaga di barisan hadapan dalam isu Covid-19.

“Kami (Warga Cakna) mengumpul sumbangan untuk menyediakan makanan kepada petugas di lapangan seperti anggota keselamatan dan anggota kesihatan di Hospital Hulu Terengganu ini. 

“Mereka bekerja keras semenjak isu Covid-19 ini melanda negara terutama di Terengganu khususnya HHT yang merupakan tempat saringan dan kuarantin.

“Setakat ini bermula 21 Mac hingga 31 Mac pihak kami menyediakan makanan pagi, tengahari dan malam kepada semua petugas di barisan hadapan itu, Insya’Allah,” ujarnya ketika mengetuai Program Sumbangan Untukmu Frontliner, di Hospital Hulu Terengganu, 21 Mac lalu. 

Harakah dimaklumkan, sumbangan utama diperolehi daripada ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan Adun Wanita Terengganu, Zuraida Mohd Nor, yang berkolaborasi mencari dananya.

Kata Dr Khatijah, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 31 Mac ini sebanyak RM50,000 sumbangan berjaya dikumpul bagi tujuan itu.

“Kami menyediakan bekalan makanan pagi, tengahari dan malam kepada para petugas di barisan hadapan yang sedang bertugas setiap hari sejak dikenakan PKP.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang begitu prihatin dalam bersama menunjukkan kebersamaan kita mendepani wabak Covid-19 ini,” jelasnya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan mereka kepada Persatuan Prihatin Warga Terpinggir Terengganu, melalui akaun Maybank No. 563037065007 atau hubungi Haji Kasmadi Abrahim ditalian 016-9637864, Dr Khatijah Musa (019-9222057) dan Haji Abu Bakar Nasir 016-9808864.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya, Malaysia mencatatkan 10 kematian akibat jangkitan Covid-19 setakat ini dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti 26 hospital khusus bagi merawat Covid-19.

Manakala, terdapat 123 kes positif baru Covid-19 berjaya dikesan pada 22 Mac, yang menjadikan jumlah keseluruhan 1,306 kes di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 22/3/2020

- Advertisement -