Covid-19: Tentera bantu Polis

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sikap tidak mengambil berat segelintir rakyat terhadap arahan kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hingga memaksa kerahan anggota tentera bagi membantu polis bermula jam 12 malam tadi.

- Advertisement -

Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin telah mengenakan perintah PKP itu kepada rakyat di seluruh negara bermula 18 hingga 31 Mac 2020.

Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik berkata, setelah memasuki hari keempat (semalam) PKP dilaksanakan, pematuhan rakyat negeri ini berada ditahap 80 hingga 85 peratus sahaja.

Justeru, katanya bagi mengekang penularan wabak berbahaya Covid-19 dari terus merebak, bantuan anggota tentera untuk membantu pihak polis diperlukan masa ini.

“Dianggarkan seramai 600 anggota tentera akan terbabit membantu polis menjalankan tugas pengawalan pergerakan ini yang bertujuan mencegah penularan wabak Covid-19 di negeri (Terengganu) ini.

“Setakat ini, anggota dan pegawai polis yang bertugas siang dan malam seramai 800 orang dan dengan adanya bantuan daripada tentera seramai 600 orang, usaha membendung penularan wabak berkenaan dapat ditingkatkan,” ujarnya.

Menurutnya, menerusi kerjasama pihak tentera itu diharapkan tahap pematuhan rakyat di negeri ini juga meningkat hingga 95 peratus.

Justeru itu, kata Dato’ Roslee, orang ramai hendaklah mematuhi perintah berkenaan bagi memutuskan rantaian wabak berbahaya itu yang hanya boleh bertahan selama 14 hari.

“Sebab itu orang ramai diminta kuarantinkan diri sendiri dengan berada di dalam rumah masing-masing sehingga tempoh PKP iaitu 31 Mac ini.

“Saya percaya, jika orang ramai patuh dengan arahan ini, virus wabak Covid-19 akan cepat berakhir dan bebas dari penyakit itu,” jelasnya.

Menurut beliau, kesedaran itu penting membuatkan mereka terus berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.

Katanya, sehingga kini, pihak polis telah melakukan sebanyak 27 sekatan jalan raya dan jumlah itu dijangka akan bertambah dengan adanya pembabitan daripada pihak tentera.

Tambah beliau, kaedah pengawalan yang akan dilakukan sama sebagaimana yang dibuat sebelum ini iaitu menerusi hebahan oleh kereta peronda, sekatan jalan raya dan rondaan di semua kawasan terutama lokasi tumpuan ramai dan kawasan awam.

“Cuma bermula malam (Ahad) ini, pergerakan akan dilakukan secara bersama dengan polis dan tentera. Rondaan juga akan dibuat di jalan kampung bagi memastikan penduduk di kawasan kampung mematuhi arahan dengan tidak melakukan aktiviti yang dilarang seperti perniagaan kedai makan dan lain-lain,” ujarnya.

Menurutnya, kawalan pergerakan itu akan ditingkatkan membabitkan empat kawasan iaitu daerah, mukim, kampung dan taman di seluruh negeri.

Harakah difahamkan, kegagalan mematuhi perintah berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). – HARAKAHDAILY 22/3/2020

- Advertisement -