COVID-19: Rakyat terus dirayu patuhi PKP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kes COVID-19 terus mencatat peningkatan di semua negeri kecuali Labuan dengan pertambahan 123 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan 1,306 kes setakat diumumkan jam 5:30 petang tadi.

- Advertisement -

Kematian juga telah berjumlah sepuluh kes setelah dua lagi pesakit meninggal dunia masing-masing satu kes di Perlis dan Pulau Pinang, manakala dibenar discaj pula 25 kes menjadikan 139 kes telah pulih sepenuhnya.

Hari ini juga menyaksikan penglibatan 7,500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan ke seluruh negara bagi melicinkan lagi operasi kawalan dan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (KPK).

Mereka ditugaskan membantu pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), selain anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Walaupun terdapat pengurangan ketara pergerakan orang awam di lokasi tumpuan di seluruh negara, tetapi masih terdapat laporan mereka yang seolah-olah tidak peka dengan arahan PKP, serta tidak bersikap berwaspada.

Antara yang mendapat teguran pihak Majlis Keselamatan Negara adalah pergerakan orang awam secara berleluasa serta bersesak membuat pembelian di pasar pagi dan pasaraya, selain keingkaran penjaja di beberapa lokasi.

Namun, penglibatan tentera masih dalam skop membantu polis bagi memberi nasihat kepada orang awam untuk mematuhi PKP, tetapi telah diingatkan bahawa pendekatan boleh berubah menjadi tegas jika wujud kegagalan pematuhan.

Malah, dakwaan mengaitkan kerahan tentera dengan Akta Darurat adalah tidak benar kerana kerajaan menguatkuasakan PKP menggunakan Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dilaporkan sehingga kini juga seramai 10,553 daripada 10,650 peserta tempatan pada Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling yang merupakan kluster terbesar kes COVID-19 telahpun menjalani saringan dan rawatan.

Bagaimanapun, pihak polis masih berusaha mencari baki yang ada, selain merayu mereka tampil sendiri, termasuk sebahagian besar lagi peserta dipercayai daripada kalangan etnik Rohingya dan berada dalam negara ini.

Oleh itu, kerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dibuat dalam merayu dan meminta mereka yang terlibat dalam ijtimak tersebut tampil secara sukarela untuk dijalani saringan.

Dimaklumkan, pihak keluarga ahli-ahli Jemaah Tabligh yang terlibat ijtimak tersebut juga perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sebagai usaha kerajaan menjamin rantaian penularan COVID-19 dapat diputuskan terus.

Kerana itu peranan rakyat juga amat penting dalam menjayakan perintah ini kerana keberadaan di rumah masing-masing ketika ini serta mematuhi segala saranan PKP dapat membendung COVID-19 yang mempunyai inkubasi 14 hari.

Pihak kerajaan juga setakat ini gigih memastikan tatacara penjagaan kebersihan melibatkan COVID-19 dijayakan antaranya pembelian 10 juta penutup muka dari China, selain memastikan keperluan harian mencukupi di pasaran.

Selain itu juga, pelbagai inisiatif atau bantuan telah diumumkan kerajaan atas keprihatinan terhadap nasib rakyat dan pelbagai pihak yang terjejas kesan dari PKP, selain dijangka banyak lagi akan dimaklumkan.

Seruan dan rayuan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah turut diulang di semua rangkaian media dalam menenang dan memahamkan rakyat terhadap perintah tersebut.

Baginda bertitah supaya rakyat jelata tidak keluar rumah jika tiada keperluan dan membatal hasrat balik kampung, selain tidak berkumpul, serta menangguhkan majlis kenduri kahwin.

Titah baginda juga supaya rakyat tidak panik dan memaklumkan bahawa barang keperluan dijamin cukup oleh kerajaan, selain tidak menyebar berita palsu disamping menitikberatkan kebersihan diri yang dipanduankan. – HARAKAHDAILY 22/3/2020

- Advertisement -