Covid-19: Ada hospital swasta terpaksa tutup sementara

- Advertisement -

MERBOK: Sebuah hospital swasta di sini menutup operasinya beberapa hari berikutan seorang pesakitnya dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang disahkan dijangkiti Covid-19.

- Advertisement -

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, pihak hospital menjelaskan, wanita warga tempatan berusia 30 tahun itu hadir ke hospital untuk rawatan bersalin.

Bagaimanapun, pesakit itu tidak memberikan pendedahan penuh semasa proses pemeriksaan di hospital dan dirawat di wad biasa.

“Dia didapati mengalami demam selepas melahirkan anak. Siasatan lanjut mendapati wanita terbabit pernah tinggal bersama ahli keluarga yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dan diuji positif untuk Covid-19,” jelas mereka.

Sehubungan itu hospital terbabit menjalani proses pembersihan dan pembasmian kuman untuk memastikan virus berkenaan tidak merebak dan kesemua kakitangan yang bersentuhan dengan pesakit sudah dikenal pasti dan mereka di kuarantin serta diuji negatif bagi Covid-19.

“Perkhidmatan klinikal akan disambung semula pada Selasa iaitu 24 Mac ini dan pesakit boleh meneruskan rancangan untuk mendapatkan rawatan di sini seperti biasa,” maklum mereka lagi.

Sementara, pesakit itu kini dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk tindakan lanjut. – sumber Harian Metro

HARAKAHDAILY 22/3/2020

- Advertisement -