Terkini kematian ke-8, bertambah 153 kes baru

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan empat lagi kes kematian COVID-19 direkodkan negara ini menjadi jumlah kumulatif akibat pandemik itu kini kepada lapan nyawa, setakat lewat petang tadi.

- Advertisement -

Terdahulu sebelum itu, beliau telahpun mengumumkan satu lagi kematian baharu yang menjadi mangsa keempat maut akibat wabak tersebut pada sidang media secara siaran langsung menerusi Facebook beliau awal petang sama.

Menurutnya, setakat jam 12 tengahari tadi terdapat 153 kes positif COVID-19 yang baru dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,183 kes, di mana 27 kes pulih dan discaj pada hari ini merekodkan jumlah kumulatif 114 kes pulih sepenuhnya.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan, 19 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia juga disahkan positif COVID-19 dengan dua daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), selain lima kes dari fasiliti kesihatan swasta.

Beliau bagaimanapun menafikan kakitangan tersebut tidak patuh tatacara mengendalikan kes COVID-19, sebaliknya mereka dijangkiti virus itu adalah disebabkan mempunyai kontak rapat kepada kluster Jemaah Tabligh.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam sidang media beliau mengesahkan enam anggotanya positif COVID-19 dengan 335 ahli keluarga mereka masih menunggu ujian saringan kesihatan.

Manakala Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan seorang anggota dari KD Mahawangsa disyaki COVID-19.

Menurut kenyataan dikeluarkan, anggota itu disyaki dijangkiti setelah isterinya bergaul rapat dengan rakan sekerja yang juga disyaki menghidap virus itu dan seluruh keluarganya diklasifikasikan sebagai pesakit di bawah pemantauan (PUI). – HARAKAHDAILY 21/3/2020

- Advertisement -