Israk Mikraj, Covid-19: Ujian besar daripada Allah

- Advertisement -

PAS Kedah mengucapkan Selamat Mengambil Iktibar daripada Peristiwa Israk dan Mikraj yang disambut pada 27 Rejab setiap tahun dan kali ini bersamaan pada 22 Mac 2020M.

- Advertisement -

Peristiwa Israk dan Mikraj Baginda Nabi Muhammad SAW merupakan ujian besar Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya. Ia terjadi dengan begitu unik kerana mengatasi daya fikir manusia biasa.

Allah SWT menunjukkan kekuasaan-Nya dengan mendekatkan jarak yang jauh, menayangkan sesuatu kejadian terkehadapan dengan pandangan mata dan menganugerahkan rasa yakin manusia terpilih terhadap semua acara yang berlaku dalam peristiwa terhebat sepanjang sejarah dunia iaitu Israk dan Mikraj.

Seakan-akan masih terngiang-ngiang kata-kata pengakuan hebat Saidina Abu Bakar RA di pagi Nabi Muhammad SAW sampai ke bumi setelah diturunkan dari Mikraj. Abu Jahal memprovok Saidina Abu Bakar RA, “Adakah kamu percaya sedangkan perjalanan biasa mengambil masa berbulan-bulan, ini sahabat kamu mengatakan Israk dan Mikraj hanya dalam satu malam cuma?”.

Lantas dengan penuh keyakinan, Saidina Abu Bakar menjawab dengan tegas,

Dalam erti, “Jika Muhammad SAW yang berkata begitu, nescaya akan aku percaya, meskipun terlebih jauh daripada itu.” Dengan ungkapan membenarkan kata-kata Nabi itulah, Saidina Abu Bakar duanugerahkan gelaran As-Siddiq.

Mutakhir ini kejadian penyakit pandemik Corona Virus atau Covic-19 juga boleh dianggap salah satu daripada ujian besar Allah SWT terhadap keyakinan manusia.

Sejenis penyakit yang tiba-tiba datang laju seperti taufan melanda tetapi perginya terlebih perlahan daripada perjalanan seekor semut yang melata.

Keyakinan Umat Islam hanya satu. Semua penyakit datang daripada Allah SWT dan berpegang teguh dengan Hadis Baginda Nabi Muhammad SAW: dalam erti Setiap penyakit itu ada ubatnya kecuali mati.

Inilah antara dua perkara besar yang sedang menguji sejauh mana kadar keyakinan umat manusia terhadap keperkasaan dan Maha Penyayangnya Dia terhadap makhluk ini.

Dalam masa Allah SWT menguji semua manusia dengan pelbagai ujian, Dia menganugerahkan Nikmat-Nya kepada mereka yang beriman kepada-Nya dan reda akan segala ketentuan-Nya dengan rasa lazat, nyaman dan membahagiakan.

Semoga kita termasuk dalam golongan mereka yang mendapat kelepasan daripada azab derita perasaan yang berpanjangan. Dimasukkan kita di dalam golongan berpanjikan kalimah As-Siddiq. Aamiin.

ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN’

Salam Hormat,
Ustaz Haji Ahmad Yahaya,
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah,
Alor Setar. – HARAKAHDAILY 21/3/2020

- Advertisement -