IPOH: Semua majlis akad nikah di negeri Perak diarah ditangguhkan serta-merta bermula hari ini sehingga ke satu tarikh akan dimaklumkan, demikian kenyataan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK), Dato’ Mohd Yusop Husin.
Tambahnya, beliau juga meminta agar semua Pegawai Tadbir Agama (PTA) memaklumkan tindakan ini kepada jurunikah di bawah seliaan masing-masing untuk tindakan lanjut.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, langkah yang di ambil oleh semua agensi kerajaan termasuk JAIPK ini amat wajar kerana umum telah maklum bahawa COVID-19 boleh dikawal melalui sekatan pergerakan.
“Kemudaratan perlulah dibendung semampu mungkin. Tindakan pihak berwajib dalam perintah kawalan pergerakan termasuk penangguhan majlis akad nikah ini wajar dipatuhi bagi mengelak COVID-19 ini terus merebak,” jelasnya.
Serunya lanjut, seluruh rakyat Malaysia khususnya penduduk negeri Perak hendaklah memandang serius dan memainkan peranan masing-masing seperti saranan pihak berwajib bagi membendung COVID-19 ini.
“Selain mentaati perintah kawalan pergerakan, saya juga menyeru umat Islam bermunajat kepada Allah agar diberikan perlindungan kepada rakyat Malaysia khususnya kepada seluruh petugas kesihatan dan pihak yang bertungkus lumus menangani wabak ini,” ujarnya.
Dalam tempoh kuarantin ini, Razman berpesan agar masyarakat mendiami rumah masing-masing dan mempelbagaikan aktiviti mengeratkan kekeluargaan antaranya solat jemaah, tadarus al-Quran, memasak dan lain-lain bersama keluarga.
Tambah beliau yang juga ADUN Gunung Semangol, pergerakan keluar rumah hendaklah dilakukan apabila ada keperluan mendesak di mana hanya wakil keluarga sahaja yang digalakkan keluar serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
Terkini, Kementerian Kesihatan Malaysia mengumumkan bahawa sehingga 6:30 petang tadi kes positif COVID-19 di Malaysia adalah berjumlah kumulatif sebanyak 1,183 kes direkod serta lapan kematian. – HARAKAHDAILY 21/3/2020