Covid-19: Sokongan moral bantu petugas ‘frontliner’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Mengambil kira tugas kritikal pasukan barisan hadapan bagi menangani wabak Covid-19, mana-mana pihak atau NGO boleh membantu meringankan bebanan mereka.

- Advertisement -

Antaranya boleh membekalkan makanan berupa makanan kering dan air kepada mereka sebagai sokongan moral.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Cawangan Kelantan Dr Muhaimin berkata, usaha tersebut sebagai sokongan moral kepada petugas ‘frontliner’.

Katanya, ‘frontliner’ termasuk doktor, jururawat, pengawal keselamatan hospital, anggota polis dan pegawai PBT.

“Sumbangan makanan diberi sebagai motivasi kepada mereka kerana berdepan dengan keletihan, kurang waktu rehat dan bekerja dengan penuh risiko,” katanya pada cacatan di facebook PAPISMA.

Malam Jumaat lepas Pemuda PAS Dun Tanjung Mas mengagihkan KFC kepada petugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Manakala di Hospital Tumpat wakil-wakil rakyat yang diketuai anggota Exco Ustaz Wan Roslan Wan Hamat turut menyampaikan sumbangan makanan.

Menurut Papisma juga pesakit yang dikuarantin di Kelantan ditempatkan di lokaliti tertentu iaitu Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah seliaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Manakala pesakit yang stabil akan ditempatkan Hospital Tumpat, Hospital Tengku Anis Kuala Krai (hospital lama) dan Hospital Pasir Mas.

Pesakit stabil sudah sihat namun perlu dikuarantin boleh diberi sumbangan seperti biskut, roti, sabun, ubat gigi, pad wanita, bahan bacaan dan al-Quran.

Dr Muhaimin berkata, pesakit terbabit tidak boleh dilawat di mana ada dalam kalangan mereka keluarga tinggal jauh.

“Memandangkan pergerakkan terhad mereka boleh dibantu. Mana-mana pihak yang berminat berjumpa dengan pengarah hospital membincangkan keperluannya.

“Dan serahan perlu mengikut SOP dengan mengelakkan berkumpul beramai-ramai atau mendekati tempat pesakit atau tempat saringan Covid-19,” ujarnya.

Selain itu orang ramai juga boleh membantu asnaf di kawasan masing-masing kerana ramai terjejas disebabkan tidak boleh bekerja.

Orang ramai juga boleh bersama Papisma bagi menyelaras gerak kerja tersebut dengan menghulur sumbangan melalui akaun Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia – Maybank 5530 1010 8828. – HARAKAHDAILY 21/3/2020

- Advertisement -