COVID-19: Sampaikanlah kami di bulan Ramadhan

UJIAN berat melanda Malaysia dan dunia ini datang bersamanya hikmah yang besar kepada semua tanpa mengira jantina, warna kulit mahu pun status kehidupan miskin atau kaya.

Advertisement

Saat umat Islam mula memasuki bulan Rejab 1441 pada 25 Februari lalu, dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perkembangan positif apabila 20 orang telah discaj daripada 22 kes COVID-19 ketika itu.

“Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan,” antara doa tatkala memasuki bulan Rejab yang juga dianggap sebagai persediaan atau latihan ibadah sebelum tibanya Ramadhan.

Namun dikhabarkan gelombang kedua COVID-19 mula melanda negara selepas 11 hari tiada kes baharu, menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 50 kes pada 4 Mac yang lalu.

Bertitik tolak kes kluster baharu seorang lelaki berusia 52 tahun (kes ke-26), pengesahan kontak rapat mula disiasat serta menjadikan situasi penularan wabak yang lebih luas dan bergerak pantas.

Sehinggalah ke hari artikel ini ditulis, kes positif COVID-19 telah meningkat kepada 1,030 kes dalam tempoh yang begitu singkat, malah telah mencatat tiga kematian rakyat Malaysia setakat ini.

Oleh sebab itu, penting untuk difahami dan mengambil langkah wajar antaranya mematuhi arahan pihak kerajaan yang mengambil langkah pencegahan disamping saranan KKM bagi mengekang wabak terus tersebar luas.

Sebagai manusia biasa yang juga kehidupan masing-masing berada dalam tahap berbeza sedikit sebanyak telah menimbulkan kepanikan yang boleh menyebabkan huru-hara sekiranya tidak dikawal dengan baik.

Maka sewajarnya kita memperbetul keadaan dengan mengurus dan mengatur kehidupan seharian kita dengan kembali kepada ajaran Islam khususnya dengan merujuk kepada firman Allah S.W.T.

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”
(al-Baqarah: 45)

Sudah pasti kita yakin bahawa setiap penyakit yang datang akan ada penawarnya daripada Allah S.W.T cumanya bila serta bagaimana itu adalah atas kehendak-Nya dan berikhtiarlah kita.

Namun, langkah pencegahan juga wajar dilaksanakan sebagaimana diarahkan oleh pihak kerajaan termasuklah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula 18 hingga 31 Mac 2020.

Tempoh bertenang di rumah sebenarnya memberi peluang kepada kita untuk melatih diri ikhlas kepada Allah S.W.T dalam menyempurnakan amal ibadat dan peranan masing-masing di rumah.

Ianya juga membolehkan kita bersiap sedia bagi menyiapkan diri untuk bertemu Ramadhan yang sudah pasti dinanti-nantikan kita semua.

Sekurang-kurangnya kita dapat bersama ahli keluarga atau rakan serumah untuk berpuasa sunat Isnin, Khamis sebanyak empat hari dalam tempoh tersebut.

Juga disana ada yang berkongsi strategi untuk membolehkan kita membaca al-Qur’an setiap hari dua juz dan akhirnya berjaya khatam dalam tempoh dua minggu tersebut.

Dalam masa yang sama, turut kelihatan di sana sini ramai pihak mula menggerakkan usaha kebajikan membantu masyarakat yang dalam kesempitan dengan membekal barang keperluan harian.

Nikmat Allah manakah lagi yang kamu dustakan dan ternyata banyaknya hikmah di hadapan kita jika sudut pandang positif yang diambil untuk kita ambil langkah sebaiknya dan manfaatkan masa yang tersedia.

Sebagaimana Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah, ayat 286:

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

Marilah sama-sama kita terus berdoa dan bermunajat kepada Allah S.W.T agar wabak COVID-19 ini segera dihapuskan serta izinkanlah kembali kita untuk meneruskan ibadah khususnya di bulan Ramadhan. – HARAKAHDAILY 21/3/2020