COVID-19: Perak umum RM6 juta bantuan khas

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan Negeri Perak telah memperuntukkan RM6 juta sebagai inisiatif bantuan khas berikutan situasi yang dihadapi rakyat kesan dari COVID-19 serta sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

- Advertisement -

Antaranya melibatkan pembayaran gaji dan elaun penjawat awam tetap, kontrak dan sambilan harian di mana dibayar sebulan penuh serta dipercepatkan bagi bulan Mac iaitu mulai kelmarin.

Selain itu, kerajaan negeri turut menangguh bayaran balik Tabung Usahawan, Rumah Harapaj, Pinjaman Pendidikan dan sewa bulanan Program Perumahan Rakyat Perak untuk 3 bulan iaitu Mac hingga Mei.

Inisiatif sama turut diperluas kepada penangguhan bagi bayaran sewa beli Rancangan Perumahan Awam dan Skim Pertapakan Kemudahan Asas juga untuk tempoh yang sama.

Jabatan Kesihatan Negeri pula diberi peruntukan khas berjumlah RM160,000 bagi pembelian peralatan sokongan tambahan serta tajaan makan tengah hari dan malam bagi petugas barisan hadapan perubatan melibatkan kos RM420,000.

Berita gembira juga diumumkan buat penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan apabila bakal menerima RM500 secara ‘one-off’, selain penangguhan bayaran sewaan premis gerai makanan dan medan selera.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu juga memaklumkan bantuan kotak makanan melalui Pejabat Daerah dan Pejabat Daerah Kecil seluruh Perak melibatkan peruntukan RM720,000.

“Tumpuan adalah kepada golongan kurang bernasib baik dan mereka yang bekerja sendiri atau pekerja gaji harian yang hilang punca pendapatan kerana tidak dapat keluar bekerja.

“Inisiatif bantuan khas ini tidak melibatkan pemegang Kad Perak Prihatin yang boleh mendapat bekalan makanan dan keperluan asas bernilai sehingga RM80 sebulan di kedai-kedai terpilih seperti biasa,” umumnya. – HARAKAHDAILY 21/3/2020

- Advertisement -