Cegah Covid-19: ‘Duduk sahaja di rumah’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Pengguna dan Pekerja PAS Pusat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff mengingatkan rakyat supaya patuh dengan arahan kerajaan duduk di rumah dalam tempoh 14 hari bagi mengelak penularan Covid-19.

- Advertisement -

Katanya, walaupun hampir seminggu Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan namun masih ramai yang berdegil dan tidak mempedulikan arahan kerajaan.

Menurut beliau, melihat pemantauan yang dilakukan oleh pihak berkuasa (Polis) masih lagi ada yang bermain di tapak permainan dan makan di restoran.

“Masa inilah gunakan untuk bersama dengan anak, isteri, suami dan keluarga. Mengaji bersama-sama, solat berjemaah. Inilah hikmah bila Kerajaan kenakan Perintah Kawalan Pergerakan. Ibu bapa dapat fokus kepada anak-anak,” katanya kepada Harakah hari ini.

Menyentuh isu penyebaran berita fitnah kata beliau, rakyat jangan mudah percaya dan jangan tularkan berita tersebut.

Contohnya, kata beliau penyebaran berita kononnya akan adanya perintah darurat apabila mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berharap supaya rakyat tidak mudah percaya dengan penyebaran berita-berita palsu.

“Saya mohon kepada rakyat supaya tidak menularkan berita-berita yang masih belum sahih sama ada menggunakan sosial media Facebook atau WhatsApp,” katanya.

Tambah beliau, dalam keadaan Negara sedang berjaga-jaga bagi mencegah penularan penyakit berjangkit ini banyakkan sujud dan berdoa kepada Allah.

Tambah beliau, penyakit ini yang datangkan Allah dan sudah pasti Allah akan mendengar keluhan hambaNya tentang kesukaran berhadapan dengan ujian ini. – HARAKAHDAILY 21/3/2020

- Advertisement -