Takut Covid-19 atau takut Allah?

- Advertisement -

MENGAMALKAN Islam tidak memadai dengan semangat, tetapi memerlukan Ilmu Islam yang benar”

- Advertisement -

Terdapat satu video yang sedang tular, seorang penceramah sedang berucap dihadapan satu jamaah yang sedang berkumpul di Indonesia.

 
“Dimana ada korona, kita hantar jamaah ke sana, jamaah tidak takut sama korona, korona yang takut sama jamaah. Jamaah hanya takut kepada Allah”


Begitulah kurang lebih nada penceramah tersebut. 


Saya agak tersentak mendengar kenyataan ini. Saya faham, mereka mempunyai semangat untuk hidup beragama. Namun mempraktiskan agama ini tidak memadai hanya dengan semangat. Ia memerlukan ilmu.Ilmu yang jelas dan menyeluruh.


Salah benar ia berkata demikian. Itu namanya menempah musibah. Mencari penyakit, sedang Allah SWT melarang hambaNya meletakkan diri dalam situasi yang membinasakan diri sendiri.
Benar Korona Virus itu juga makhluk Allah SWT.

Tetapi ia merbahaya … kenapa harus ditempah?
Sama seperti sang harimau, ia juga makhluk Allah SWT, namun apakah jika beberapa ekor harimau berkeliaran dilaman rumah kita, maka kita masih mahu keluar dari rumah ?


Nak bagi semangat pada jamaah pun, jangan lah sampai mengenepikan ilmu Islamyang benar dan mengelirukan mereka yang tidak berilmu.
Saksikan satu Hadis Nabi SAW: 
‎ 
Maka Usamah berkata; Rasulullah SAW bersabda: 


“Ta’un adalah sejenis kotoran (azab) yang dikirim kepada satu golongan dari Bani Isra’il atau kepada umat sebelum kamu. Maka itu jika kamu mendengar ada wabak tersebut di suatu wilayah, maka janganlah kamu memasuki wilayah tersebut dan jika kamu sedang berada di wilayah yang terkena wabak tersebut janganlah kamu keluar dari wilayah tersebut.”
Riwayat Imam Al Bukhari. (3473) dan Imam Muslim.Sohih Al Bukhari (Kitab Ahadis Al Anbiya’ : Bab Hadis Al Ghar).


Berdasarkan hadis ini, apakah kita berani mengatakan aqidah Nabi SAW tidak kental kerana takut kepada wabak Ta’un? sedang Ta’un hanyalah makhluk Allah SWT. 


Apakah Nabi SAW lebih takut pada makhluk berbanding Allah SWT? Wal’iyazubillah (minta berlindung dengan Allah dari sangkaan demikian).


Sungguh, sebagai seorang muslim tidak selayaknya kita takut kepada makhluk sebaliknya hanya takut kepada Allah SWT.


Namun syari’at mengajar kita agar berikhtiar (berusaha) untuk menghindarkan diri dari dijangkiti penyakit. Malah inilah yang diajar oleh Allah SWT dan Nabi-Nya SAW. 


Mematuhinya adalah tanda kita takut kepada Allah SWT.


Justeru mereka yang menempah penyakit atau mahu memasuki kawasan wabak atau sengaja mendedahkan diri agar dijangkiti kemudian menyebarkan wabak itu pula kepada yang lain termasuk ahli keluarga sendiri, adalah mereka yang mementingkan diri sendiri dan angkuh dari mematuhi syari’at.


Inilah contoh orang yang tidak takut kepada Allah SWT.


Dari Abi Hurairah Rha, bahawa Nabi SAW. bersabda :

‘Larilah daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada seekor singa’
Riwayat Imam Al Bukhari (5707) dan Imam Muslim.Kitab At Tibb : Bab Al Juzam
Patuh Syariat Itulah Tanda Takutkan Allah SWT.

NASARUDIN HASSAN
HARAKAHDAILY 20/3/2020

- Advertisement -