PAS bawa persaudaraan majmuk, bukan ekstrem kaum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kasih kepada kaum adalah sifat tabi’i manusia, namun menjadi salah apabila bersikap fanatik iaitu assabiyah yang dilarang Nabi S.A.W di mana memihak kepada kezaliman dilakukan kaum.

- Advertisement -

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, bahkan Islam menjadikan kaum sebagai tonggak kepada perjuangan Nabi-nabi A.S untuk mendukung perjuangan dibawa mereka.

“Allah menunjukkan iktibar Nabi Luth A.S yang tidak didukung oleh kaum bangsa dia. Di mana dakwahnya dipadam dengan mudah oleh musuh-musuhnya.

“Selepas itu Allah jadikan setiap Rasul ada kaum dia sendiri yang mendukung, termasuk Nabi kita Muhammad S.A.W. Peranan kaum sangat penting dalam menegakkan negara.

“Dengan sebab itu Islam meletakkan dominasi kaum yang menganut Islam menjadi tonggak kepada sebuah negara,” ujarnya dalam siaran temubual Bicara Harakah 2, di sini semalam.

Pun begitu kata Ahli Parlimen Marang ini, orang Melayu paling tidak bersikap perkauman berbanding bangsa lain di dunia dengan dibuktikan dari sikap menerima kaum lain tinggal bersama.

Oleh itu bidasnya, tuduhan bahawa orang Melayu bersikap perkauman adalah sangat-sangat salah kerana dapat dilihat kaum minoriti lain dapat tinggal sekampung serta sekolah bersama.

PAS sendiri terangnya, membawa pendekatan politik yang terbuka tanpa bersikap perkauman sebagaimana pendekatan persaudaraan dengan masyarakat majmuk termasuk antara parti dan orang bukan-Islam.

Hal tersebut kemuka beliau, antaranya di PRK Tanjung Piai di mana dengan majoriti penduduk Melayu, PAS telah mendukung pencalonan dari MCA yang bukan-Melayu dengan menzahirkan kerjasama padu.

Malah dalam sejarah politik terang beliau, PAS pernah bekerjasama dengan pelbagai pihak iaitu Parti Negara tahun 1960-an, parti Sosialis, Buruh dan lain-lain di tahun 1964, sebelum bersendirian pada 1969.

Kemudian ceritanya, tahun 1973 PAS menyertai kerajaan campuran sebelum 1974 bersama-sama parti lain menubuhkan Barisan Nasional dan kembali bersendirian di tahun 1979.

“(Tahun) 1982 kita cuba menembusi tembok memisahkan kaum kita dengan kaum yang lain bila kita mengadakan hubungan dengan NGO. Tahun 1990 kita mengadakan kerjasama dengan Semangat 46, kemudian Angkatan Perpaduan Ummah.

“Kemudian diikuti tahun 1998, 1999, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Kita memperkenalkan pendekatan dalam politik Islam, dinamakan Wahdah, kesatuan, Tahaluf, persefahaman.

Ta’awun, tolong menolong ataupun cooperation antara satu sama lain. Kita perkenalkan semua pendekatan ini satu persatu. Yang terakhir yang kita perkenalkan politik Ta’awun, dengan kita bersikap lunak dengan semua parti-parti politik

“Kita mulakan perpaduan umat Islam terlebih dahulu, mendekatkan PAS dengan Umno melalui Muafakat Nasional, seterusnya bergabung dengan rakan-rakan dalam kerajaan dengan BERSATU melalui Kongres Maruah Melayu.

“Dan berakhir dengan satu gabungan yang kita wujudkan pada hari ini yang membuahkan hasilnya (membentuk kerajaan baharu),” jelasnya panjang lebar.

Tambah beliau, konsep politik Islam diperkenalkan kepada pihak lain ini juga menjadi satu penyelesaian dalam menangani masyarakat majmuk, berbilang bangsa dan kaum di mana tidak mampu dilaksanakan ideologi-ideologi lain.

Jelasnya, pendekatan teguh dengan akidah perjuangan ini dan sikap tasammuh PAS bertoleransi dengan kelainan dan pihak yang lain, sebaliknya bersatu pada titik persamaan, serta bermaaf di dalam perbezaan.

“Dengan syarat tidak ada (pihak dan sikap) yang ekstrem. Bila ada yang ekstrem, ini melanggar sempadan. Dan kita tak boleh mengadakan kerjasama dengan parti seperti itu,” terangnya. – HARAKAHDAILY 20/3/2020

- Advertisement -