Menyelamatkan negara dari politik celaru dibawa PH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan baharu Muafakat Nasional-BERSATU sama sekali tidak menjatuhkan Kerajaan PH, sebaliknya bertindak menyelamatkan negara dari kancah politik celaru yang disebabkan pakatan itu.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan, PAS mengambil pendekatan mendukung Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilantik oleh PH, bagi menyelamatkan negara.

“Sebagai pembangkang yang menasihat, bukan pembangkang yang buat provokasi untuk menjatuhkan kerajaan. Apa yang berlaku ialah pergolakan dalam PH sendiri yang menimbulkan masalah sehingga menjatuhkan kerajaan itu sendiri,” ujarnya.

Beliau mengupas dakwaan tersebut ketika temubual dalam Bicara Harakah 2 yang disiarkan dari Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini semalam.

Bahkan beliau menafikan juga tuduhan ‘pintu belakang’ digunakan, sebaliknya ia berlaku secara konsep demokrasi yang betul melibatkan hak rakyat dan juga wakil-wakil rakyat telah dipilih.

“Di mana kita mengambil pendekatan mengumpulkan wakil-wakil rakyat yang ada bersama kita, dan wakil rakyat yang ada dalam kerajaan yang dulu untuk membuat satu perubahan dan berjaya mendapat majoriti melalui Perlembagaan dan melalui konsep Raja mengikut Perlembagaan,” jelasnya.

- Advertisement -

Sedangkan PH menurutnya, menjadikan Tun M sebagai ‘anak tangga’ untuk meraih pemerintahan yang berbeza dari dukungan PAS di mana melihat tokoh itu penting secara praktikal untuk kekal hingga habis penggal.

“Dengan sebab itu, kita memberi Undi Kepercayaan kepada Tun, yang tidak pelik dalam demokrasi Barat. Boleh beri Undi Kepercayaan dari pembangkang, tidak salah. Tapi malangnya, mereka membuat pusingan-U, tak setuju dengan undi ini.

“Kemudian bila saat-saat akhir, mereka sokong balik (Tun M) setelah kita batalkan Undi Kepercayaan itu, mereka sokong Tun sebagai calon. Kemudian mereka pusing balik, pusingan U balik. Oleh kerana kerap kali pusingan U ini menyebabkan mereka rebah terlentang ke belakang.

“Kita sekali pusing saja bila Tun dijadikan anak tangga, dan kita rasa tak boleh selamat dengan Tun, maka kita buat pendekatan sendiri memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin,” ujarnya mengimbas ‘sejarah’ tersebut.

Tambah beliau, Tun M semasa memimpin negara berdepan anggota-anggota Kabinet yang bermasalah di mana tidak sehaluan dengan beliau bahkan tidak juga bertindak untuk menyelamatkan negara.

Malah, dipertengah pemerintahan ujarnya, mereka memberikan tarikh-tarikh untuk Tun M meletakkan jawatan di mana hal tersebut telah mengganggu perjalanan urus tadbir negara hingga muncul pelbagai ‘langkah’ baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 20/3/2020

- Advertisement -