Diskaun bil elektrik, bank tangguh bayaran pinjaman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin prihatin memastikan hal ehwal rakyat diberi keutamaan, apatah lagi tatkala kesulitan dialami ekoran dari kesan penularan COVID-19 ketika ini.

- Advertisement -

Menyusuli kemudahan telah diputuskan dan lain-lain yang bakal diisytiharkan lagi, semalam telah diumumkan pula diskaun bil elektrik untuk semua pengguna bagi tempoh enam bulan bermula 1 April hingga 30 September nanti.

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Dr Shamsul Anuar Nasarah, rakyat kebanyakan selaku pengguna domestik akan menikmati diskaun 2 peratus sebagai tambahan 6 peratus yang telahpun sedia diberikan.

“Ia dijangka memberi penjimatan dalam bil elektrik sebanyak RM92 juta kepada kira-kira 7.5 juta pemegang akaun TNB (Tenaga Nasional Berhad). Bagi Sabah, ia memberi manfaat kepada 520,378 pengguna domestik dengan kos dianggar RM5.7 juta.

“Sarawak ia akan manfaatkan kepada 585,637 pengguna melibatkan kos sekitar RM6.8 juta,” umumnya bersama makluman kos tersebut ditampung kerajaan melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik dan peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Turut menikmati diskaun sebanyak 15 peratus pula adalah pengguna elektrik dari enam sektor iaitu hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, kompleks membeli-belah, pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

Kata beliau, pemberian diskaun bil elektrik kepada semua pengguna tersebut adalah bagi membantu meringankan beban rakyat dalam keadaan ekonomi yang mencabar berikutan kesan penularan COVID-19.

Inisiatif turut diumumkan buat rakyat dalam kalangan peniaga yang mungkin terlibat bermasalah kewangan kerana terjejasnya pasaran perniagaan apabila kerajaan membenarkan moratorium melibatkan Bank Rakyat dan SME Bank.

Malah kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ia turut melibatkan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) di mana ditangguh untuk selama 6 bulan.

Mengikuti langkah seiring adalah Bank Islam, BSN, Bank Muamalat, Maybank, HSBC Malaysia, RHB, Public Bank, AgroBank dan Hong Leong Bank yang mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman di mana boleh dipohon untuk tempoh sama. – HARAKAHDAILY 20/3/2020

- Advertisement -