Diberhentikan bukan tindakan politik, kehendak akar umbi

- Advertisement -

TINDAKAN Tan Sri Muhyiddin Yassin memberhentikan Dato’ Wira Marzuki Yahya daripada jawatan Setiausaha Agung BERSATU pada 18 Mac lalu nampaknya telah digunakan oleh para pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk menggambarkan bahawa Tan Sri Muhyiddin tidak peka dengan wabak COVID-19.

- Advertisement -

Antara pemimpin PH yang mengkritik tindakan Tan Sri Muhyiddin ini adalah Presiden PAN, Mohamad Sabu, yang secepat kilat mengeluarkan kenyataan media bagi menghentam Tan Sri Muhyiddin yang dikatakan “terus menerus berpolitik dalam suasana negara yang getir ini” dan “lebih mementingkan usaha menguatkan kedudukan kerajaan pintu belakang dan bukannya meletakkan kepentingan rakyat yang lebih utama dalam menghadapi kemelut COVID-19 ini”.

Sebenarnya, tidak seperti yang disangka, Dato’ Wira Marzuki diberhentikan oleh Tan Sri Muhyiddin daripada jawatan Setiausaha Agung BERSATU bukanlah diasaskan kepada perbezaan politik antara Tan Sri Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir Mohamad serta kepada tindakan Dato’ Wira Marzuki menunjukkan sokongan kepada Tun Dr Mahathir di dalam pertikaian antara kedua-dua pemimpin ini.

Pemberhentian Dato’ Wira Marzuki daripada jawatan Setiausaha Agung BERSATU ini sebaliknya adalah dilakukan atas tuntutan akar umbi yang sudah lama mahukan beliau diberhentikan tetapi hanya sekarang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin memandangkan beliau didapati gagal melaksanakan tanggungjawab menguruskan parti dengan baik dan telus, khususnya di dalam menguruskan soal keahlian parti, sepanjang beliau memegang jawatan Setiausaha Agung BERSATU.

Jika ditanya kepada mereka, hampir semua Ketua Bahagian dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU mahukan Dato’ Wira Marzuki diberhentikan kerana beliau gagal menguruskan pendaftaran keahlian parti dengan baik dan telus. Sepanjang persidangan cawangan BERSATU sejak hujung Februari lalu, ada cawangan BERSATU yang tidak menerima senarai keahlian lengkap, ada ahli yang tidak ditempatkan mengikut keputusan Bahagian BERSATU, malahan aduan-aduan yang dibuat oleh Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU juga gagal ditangani oleh beliau.

Antara contoh spesifik kegagalan Dato’ Wira Marzuki adalah kegagalan beliau mendaftarkan hampir 15,000 permohonan keahlian baru menyebabkan para pemimpin Bahagian BERSATU terpaksa beratur panjang di Ibu Pejabat BERSATU akhir tahun lalu untuk memastikan borang keahlian mereka yang memohon menjadi ahli diproses.

Malah, dalam satu perbincangan tidak rasmi di kalangan Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang berlangsung pada 12 Mac lalu, 20 daripada 23 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang hadir meminta Tan Sri Muhyiddin memberhentikan Dato’ Wira Marzuki secara serta-merta untuk memastikan parti berjalan baik kerana beliau dilihat terlalu lemah sebagai Setiausaha Agung BERSATU.

Tan Sri Muhyiddin waktu itu bagaimanapun masih belum mahu menukar Dato’ Wira Marzuki kerana mahu menjaga keharmonian parti, manakala Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai Naib Presiden BERSATU pula menawarkan diri untuk bertemu dengan Dato’ Wira Marzuki bagi meminta beliau meletakkan jawatan secara sukarela.

Begitupun, desakan meminta Tan Sri Muhyiddin memberhentikan Dato’ Wira Marzuki menjadi lebih kuat bila beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden BERSATU di dalam pemilihan parti pada 16 Mac lalu. Ini adalah kerana Dato’ Wira Marzuki sepatutnya meletakkan jawatan Setiausaha Agung BERSATU dahulu sebelum bertanding jawatan Timbalan Presiden BERSATU memandangkan sangat tidak wajar dari segi etika untuk seorang Setiausaha Agung bertanding jawatan Timbalan Presiden kerana jawatan ini akan memberi kelebihan kepada beliau di dalam pemilihan parti.

Selain Setiausaha Agung BERSATU merupakan penghubung di antara Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dan Jawatankuasa Pemilihan Parti, Setiausaha Agung BERSATU juga bertanggungjawab bagi memastikan Persidangan Bahagian BERSATU, Perhimpunan Agung BERSATU dan pemilihan parti berjalan lancar. Jika dalam keadaan biasa pun beliau sudah gagal melaksanakan tanggungjawab beliau dengan baik dan telus maka bila beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden BERSATU lagilah beliau tidak akan mempunyai masa untuk menguruskan parti.

Sebagai kesimpulannya, tindakan Tan Sri Muhyiddin memberhentikan Dato’ Wira Marzuki ini bukanlah satu tindakan politik untuk mengenepikan pengaruh Tun Dr Mahathir, apa lagi untuk mengenepikan kepentingan rakyat, tetapi adalah tindakan pentadbiran biasa bagi memastikan pengurusan parti dapat berjalan baik, sekali gus bagi memastikan tumpuan kepada nasib rakyat akan lebih terjaga.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 20/2/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -