COVID-19: Kita doakan imuniti berkelompok

- Advertisement -

SAYA sekeluarga tinggal di Belanda sudah masuk empat tahun, sebagai penyelidik Sarjana pada 2012-2014 dan kini sebagai penyelidik PhD 2018-sekarang. Kami dah biasa dengan sikap hati keras orang Belanda – terbaru dibuktikan oleh dasar kerajaannya menghadapi virus Corona.

Perdana Menteri Belanda Mark Rutte mengumumkan pada Isnin 16 Mac bahawa disebabkan vaksin virus Corona belum ditemui, kerajaan beliau terpaksa mengetepikan kuncitara (lockdown) dan sebaliknya cuba untuk mencapai ‘group immunity’ atau ‘imuniti berkelompok’ dalam menangani impak jangka panjang virus Corona. Bagaimana caranya? Adakah pilihan yang sama kini perlu diterima rakyat Malaysia susulan himpunan ribuan rakyat kita di TBS, pasar raya, balai-balai polis, dan kedai-kedai makan sejak Isnin lalu?

Dengan berat hati – tetapi selamba – Mark Rutte mendedahkan bahawa bagi mencapai ‘imuniti berkelompok’ ini, sekitar 50 ke 60 peratus populasi Belanda yang berjumlah kira-kira 17 juta orang mungkin perlu dijangkiti virus Corona terlebih dahulu, dan apabila mereka sembuh maka badan mereka akan ‘immune’ lalu mengurangkan risiko jangkitan pada masa akan datang (https://nltimes.nl/2020/03/17/around-60-nl-residents-must-get-covid-19-herd-immunity-health-institute).

- Advertisement -

Ketua Institut Kesihatan Awam Belanda, Jaap van Dissel menegaskan rasional kerajaan Belanda seperti berikut:

“Kami ingin menyebarkan virus ini kepada mereka yang tidak benar-benar terkesan dengannya, dalam masa yang sama, kita cuba melindungi kelompok yang berisiko dengan sebaik mungkin. Jika kelompok yang pulih daripada jangkitan virus itu sudah cukup besar, mereka akan melindungi kelompok yang berisiko daripada virus tersebut” (We want to spread the virus to people who are not really affected by it, At the same time, you try to protect vulnerable groups as well as possible. If the group that has had the virus is large enough, it will protect the vulnerable against the virus).

Perincian ini boleh dibaca di laman rasmi Kementerian Kesihatan, Kebajikan, dan Sukan Belanda, di portal National Institute for Public Health and the Environment berikut, di bawah tajuk ‘Questions about the situation in the Netherlands’ di pautan https://www.rivm.nl/en/novel-coronavirus-covid-19/questions-and-answers#situation, khususnya soalan ‘What is meant by group immunity?’ dan ‘How do we achieve group immunity?’.

Langkah kerajaan Belanda ini juga pada awalnya cuba dilaksanakan oleh Boris Johnson di UK hingga mencetuskan perdebatan hangat mengenai ‘group immunity’ dan virus Corona di media antarabangsa. Antaranya di MIT Technology Review (https://www.technologyreview.com/s/615375/what-is-herd-immunity-and-can-it-stop-the-coronavirus/) dan juga South China Morning Post (https://www.scmp.com/week-asia/explained/article/3075754/what-herd-immunity-and-can-it-stop-coronavirus).

Dalam konteks virus Corona, laman rasmi kerajaan Belanda mencatatkan: Sesiapa yang telah dijangkiti COVID-19 biasanya selepas itu akan immune daripada virus tersebut. Hal ini bermakna individu ini tidak lagi akan jatuh sakit disebabkan virus ini.

Semakin besar kelompok yang mencapai imuniti, semakin kecillah peluang virus itu untuk terus merebak. Ia juga mengurangkan peluang virus ini daripada dijangkiti golongan yang berisiko.

Imuniti berkelompok akan membina tembok penghalang, seperti mana sebelumnya, daripada golongan yang berisiko (Anyone who has had COVID-19 is usually immune to the virus afterwards. This means that this person can no longer become ill from the virus. The bigger the group that acquires immunity, the smaller the chance the virus has of spreading. This also reduces the chance that the virus reaches vulnerable people. Group immunity builds a protective wall, as it were, around vulnerable people).

Portal kerajaan Belanda juga dengan berterus-terang memperincikan bagaimana ‘imuniti berkelompok’ ini boleh dicapai: Ramai orang perlu dijangkiti virus ini bagi membangunkan imuniti berkelompok.

Pendekatan di Belanda menyasarkan untuk menyebarkan jumlah jangkitan bagi tempoh yang lebih panjang, di mana kebanyakan pesakit hanya akan menerima simptom-simptom ringan. Hal ini akan membolehkan imuniti berkelompok untuk dibangunkan.

Kesan yang penting daripada langkah ini ialah tiada lonjakan dalam jumlah jangkitan dan hospital-hospital tidak akan penuh (Multiple people must have been infected with the virus to build group immunity. The approach in the Netherlands aims to spread the number of infections over a more extended period, in which most people only get mild symptoms. This allows population immunity to build up. An important effect is that this way there will be no peak in the number of infections and the hospitals will not be overloaded).

Kedua-dua Perdana Menteri Mark Rutte dan Ketua Institut Kesihatan Awam Belanda Jaap van Dissel mempertahankan bahawa langkah ini adalah langkah pertengahan antara dua langkah ekstrem yang lain: membiarkan virus itu merebak tanpa kawalan sama sekali atau pun kuncitara (lockdown) sepenuhnya.

Kerajaan Belanda menegaskan bahawa langkah kuncitara (lockdown) seperti China dan Itali tidak diambil kerana ia tidak membantu untuk mewujudkan imuniti berkelompok.

Kerajaan Belanda juga mengatakan bahawa langkah kuncitara sebagai tidak berguna (Why is it not useful to introduce a lock-down in the Netherlands?): A complete ban on going outdoors has no added value. Indeed, the novel coronavirus will not be able to spread as quickly, but no one will be able to build up immunity against the disease. Since the disease is spread worldwide, there is a good chance that, after lifting a lock-down, many people will become ill at the same time in a short period. So with a lock-down, you mainly postpone the moment that many people become ill at the same time, and we do not want that.

Di Malaysia, kita kini terpaksa menerima hakikat bahawa usaha kerajaan untuk mengehadkan perjalanan rakyat telah tercalar apabila ribuan rakyat kita melakukan ‘himpunan’ secara tidak sengaja dan panik di kedai-kedai, pasar raya, TBS, dan juga balai polis.

Kita makhluk tiada kuasa, hanya Allah yang Maha Berkuasa. Kerajaan mungkin telah cuba sedaya-upaya untuk menghalang percampuran beramai-ramai, mengurangkan panik dan meminimumkan perjalanan rakyat, tetapi kemungkinan wabak virus Corona untuk terus merebak sekarang tidak dapat dinafikan lagi. Malah kerajaan Malaysia sendiri akui ‘kita mempunyai peluang tipis untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19’ dan ‘jika kita gagal, negara kita akan berdepan gelombang ketiga di mana jangkitan tidak lagi terkawal’.

Dalam situasi krisis sekarang, tidak guna kita sibuk menuding jari kepada mana-mana pihak. Tak guna salahkan polis yang cuba ketatkan perjalanan antara negeri-negeri. Tak guna salahkan universiti-universiti yang arahkan mahasiswa keluar dari kolej-kolej kediaman. Tak guna salahkan mahasiswa yang balik kampung. Tak guna salahkan rakyat yang membuat pembelian panik.

Dalam keadaan ribuan rakyat Malaysia mungkin sudah pun terdedah dengan penyebaran virus Corona secara tidak sengaja di TBS, pasar raya, di balai-balai polis, di kedai-kedai makan, mahu pun di kampung-kampung (mereka yang pulang ke kampung), mungkin pilihan terbaik yang ada – selain mengusahakan vaksin dan kawalan pergerakan – hanyalah berdoa semoga imuniti berkelompok (seperti dirancang di Belanda) akan terbentuk dengan baik di Malaysia. Semoga semakin ramai yang akan pulih dan menjadi kelompok besar yang imun daripada virus Corona ini, sekali gus melindungi golongan yang berisiko untuk jangka masa panjang.

Peliharakanlah kami, Ya Allah.

Oleh: ABDUL MUEIN ABADI
Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda – HARAKAHDAILY 20/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -